Didik generasi bermula di rumah

Iklan
SELAIN solat, ibu bapa juga perlu memberi penekanan ajaran Tauhid kepada anak-anak. Foto Canva

Panduan Rasulullah SAW ajar anak-anak solat dari kecil, mantapkan ajaran Tauhid

PERIBAHASA ‘Zaman beralih, musim bertukar’ membawa maksud segala sesuatu (peraturan, hukum dan sebagainya) hendaklah disesuaikan dengan keadaan zaman.

Mungkin cara ibu bapa dahulu yang menggunakan pendekatan sedikit ‘keras’ menjadikan manusia itu manusia, kena dengan keadaan pada ketika itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun kaedah sama jika diterapkan pada generasi anak-anak sekarang mungkin berbeza hasilnya, namun ibu bapa perlulah bijaksana dalam mendidik mereka.

Iktibar Mimbar Jumaat kali ini menelusuri khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) yang berkisar mengenai pendidikan anak-anak zaman sekarang yang dibacakan khatib minggu lalu.

Iklan

Menurut JHEAIK, anak-anak merupakan satu harta yang amat bernilai dan bererti dalam kehidupan manusia.

Peranan bapa, ibu sama penting

Khatib menjelaskan, golongan bapa lebih besar dan amat penting peranannya dalam mendidik anak-anak kerana mereka adalah ketua dan pemimpin keluarga tanpa menafikan peranan ibu.

Iklan

Gandingan yang baik kedua-dua mereka merupakan satu kekuatan yang hebat dalam melahirkan generasi anak-anak yang berakhlak mulia dan terpuji.

"Proses menjaga dan mendidik anak-anak bukan satu perkara yang mudah dan boleh dipandang ringan.

DIDIKLAH anak-anak untuk mendirikan solat sejak dari kecil seperti yang diperintahkan Rasulullah SAW. Foto Canva

"Kelalaian, kelemahan, kesilapan dan kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah atau mendidik anak-anak adalah penyebab terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong daripada matlamat keinsanan dan akhirnya menjadi sampah masyarakat, musuh negara serta perosak agama,” katanya lagi.

Ulasnya lagi, hari ini ramai yang berbangga dengan memiliki anak-anak atau keluarga besar.

Mendidik anak-anak bukanlah seperti menternak haiwan dan binatang ternakan dengan diberikan makan dan minum secukupnya sehingga gemuk dan disembelih mahupun dijual.

Sebaliknya anak-anak mesti diberikan didikan jasmani dan rohani, dengan erti kata lain menanam iman dan takwa dalam sanubari mereka sejak kecil lagi.

Tekankan ibadah solat sejak kecil

Mimbar mengingatkan, anak-anak yang degil atau derhaka mungkin disebabkan oleh kecuaian dan kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas disarankan Islam.

Oleh itu katanya, ikutilah panduan yang diajarkan Rasulullah SAW seperti hadis Baginda:

"Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Hakim dan At-Tirmizi)

"Suruhan ini begitu tegas sekali apabila baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak berumur sepuluh tahun dan mereka enggan mendirikannya,” katanya.

ANAK-ANAK yang sudah dibiasakan dengan solat sejak dari kecil akan membentuk akhlak yang baik ketika membesar. Foto Canva

Persoalannya, kenapa solat dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?

Sebagai jawapan kepada persoalan tersebut, khatib menyeru jemaah merenung firman ALLAH SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 45:

"Bacalah (Wahai Muhammad) kitab (al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu dan tegakkanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingat ALLAH (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah yang lain). Dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Terap didikan unsur Tauhid

Selain aspek ibadah, ibu bapa juga seharusnya mendidik anak-anak dengan nilai Tauhid iaitu keimanan kepada ALLAH seperti yang dinyatakan dalam Surah Ibrahim ayat ke-35.

"Justeru ibu bapa yang mahukan keyakinan Tauhid dan akidah yang mantap dalam diri anak-anak hendaklah terlebih dahulu mengetahui persoalan iman, syirik, kufur dan munafik.

"Jika ibu bapa sendiri tidak tahu, sudah tentu keyakinan Tauhid tidak dapat diajarkan pada anak-anak. Didikan ini seharusnya bermula sejak mula-mula bercakap lagi,” katanya.

"Walaupun tidak mengerti maksudnya, ucapan tesebut boleh melatih jiwa dan fikiran mereka mengenal kata-kata tauhid.

ANAK-ANAK mesti diberikan didikan jasmani dan rohani, dengan erti kata lain menanam iman dan takwa dalam sanubari mereka sejak kecil lagi. Foto Canva

"Lantaran itulah kesihatan mental anak-anak pasti dapat dijamin selama hidupnya,” ujarnya.

Sebagai kesimpulannya, khatib menjelaskan, pendidikan anak-anak mengikut landasan Islam adalah ibarat perletakan batu asas yang penting supaya keseluruhan sistem kehidupannya bergerak pada orbit yang betul berpaksikan prinsip Tauhid dan akhlak yang murni.

***Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) dan diterbitkan dalam laman web rasmi jabatan berkenaan.