KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan kira-kira 20 anggota di sepanjang persimpangan Jalan Sultan Ismail bagi melicinkan lalu lintas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, penempatan anggota trafik tersebut dibuat selepas perubahan jalan dua hala membabitkan laluan utama ibu kota itu.
Menurutnya, perubahan laluan itu bermula di simpang Jalan Raja Chulan sehingga ke Simpang Bukit Bintang, dekat sini.
Ujar beliau, cetusan perubahan laluan dua hala tersebut telah dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani kesibukan di laluan utama bandar raya.
"Perubahan laluan ini telah dilaksanakan sejak Rabu lalu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di tengah ibu kota.
"Penempatan 20 anggota trafik PDRM di laluan ini bagi melicinkan lalu lintas kerana masih ramai pengguna jalan raya tidak mengetahui perubahan dilakukan," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
Laluan dua hala yang dilaksanakan pada 1 Mei lalu bermula jam 9 pagi pada Isnin hingga Jumaat.
Mengulas lanjut, Azry berkata, semasa waktu puncak khusus pada awal pagi, laluan Jalan Kampung Pandan menghala Jalan Sultan Ismail akan menjadi sehala bermula jam 6 pagi sehingga 9 pagi.
"Laluan tersebut akan kembali ke laluan asal (dua hala) selepas jam 9 pagi.
"Masih ada pengguna yang keliru berhubung laluan yang telah diubah tersebut. Oleh yang demikian PDRM menempatkan anggota di laluan itu sehingga pengguna benar-benar faham perubahan tersebut," katanya.
Ditanya adakah pembukaan jalan dua hala itu berjaya mengurangkan kadar kesesakan, Azry berkata, pihaknya masih belum dapat memaklumkan lagi kerana kajian masih dijalankan.
Katanya, pemantauan masih dijalankan oleh pihak trafik bagi membuat rumusan daripada pelaksanaan itu.
"Kita masih belum dapat sepenuhnya dan pemantauan masih dibuat oleh anggota trafik yang ditempatkan di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sulltan Ismail.
"Petugas akan memantau kelancaran laluan kenderaan yang lalu di sini, selain berusaha memberi pemahaman lebih kepada pengguna jalan raya.
"Kita berharap pelaksanaan ini dapat mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di Bukit Bintang ini," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, Ops Hormat Undang-Undang Fasa Tiga akan bermula dalam masa terdekat.
Beliau berkata, operasi itu akan dilaksanakan selama satu bulan bagi mengurangkan kadar kesalahan jalan raya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!