HULU SELANGOR - Pas sekali lagi menegaskan parti itu tidak memboikot calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man malah menjelaskan, semua pemimpin tertinggi telah dijadualkan untuk turut serta dalam setiap kempen yang berbaki kurang sembilan hari lagi.
"Tidak timbul Pas boikot sebab semua pimpinan turun, bahkan dalam jadual insya-ALLAH Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) juga akan turut serta.
"Saya sudah berjumpa dengan sebahagian jentera Pas dan amat berpuas hati dengan gerak kerja mereka," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum PN di Hulu Yam, malam Khamis.
Isu Pas boikot PRK timbul apabila tiada pemimpin parti itu dilihat bersama calon yang juga pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor pada hari penamaan calon, 27 April lalu.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam ceramahnya memaklumkan, jentera Pas dari seluruh negara sudah mula berkampung di daerah ini untuk memastikan kemenangan calon PN.
"Mereka (jentera) datang tanpa minta duit satu sen daripada parti, tidak minta bayaran apa pun. Dalam Pas, kita latih pemimpin buat kerja ikhlas dan insya-ALLAH, dalam muafakat ALLAH akan bantu.
"Banyak tempat sudah saya sebut, bahkan dalam Pas setiap kali pilihan raya, deposit calon perlu bayar sendiri," ujarnya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mengakui Khairul Azhari merupakan individu terbaik yang ditampilkan PN dalam mendepani PRK Kuala Kubu Baharu.
"Saya yakin rakyat di sini akan memilih beliau sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!