YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan debit terus berkala serendah RM10 menerusi platform InfaqPay.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, menerusi InfaqPay ia lebih menggalakkan orang ramai bersedekah dengan lebih mudah.
Menurutnya, amalan bersedekah perlu dilaksanakan dengan pelbagai kaedah untuk memudahkan kerja amal jariah dan menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat rentan.
Tegasnya, setiap sumbangan dan program yang diadakan akan terus dikemaskini di laman sesawang termasuk platform media sosial bagi memastikan ketelusan serta integriti menjadi prinsip utama mereka.
"Hari ini saya berbesar hati ingin mengumumkan pendekatan baharu yang diambil oleh YaPEIM dengan memperkenalkan pembayaran debit terus serendah RM10 kepada orang ramai bagi membantu golongan rentan.
"Pendekatan baharu ini sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu dengan mengambil kira faktor penggunaan telefon bimbit dan internet yang semakin meluas.
"Orang ramai boleh melawat laman sesawang YaPEIM untuk mengetahui laporan kewangan dan program yang dilakukan oleh kami dalam membantu golongan B40 serta golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Platform Sumbangan Debit Terus InfaqPay dan Sambutan Aidilfitri YaPIEM pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Radzif, platform terbaharu itu mampu memberi nilai tambah kepada mereka sebagai peneraju institusi amal jariah di Malaysia.
Tambah beliau, mereka ingin terus membantu masyarakat dan golongan rentan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menarik taraf ekonomi serta kewangan masing-masing.
"Pendekatan baharu ini sudah dilaksanakan oleh YaPEIM mulai tahun ini dan akan membawa keyakinan kepada penderma sekali gus membantu membangunkan sosioekonomi negara.
"Platform ini diharap dapat membantu meningkat dana untuk terus menyalurkan pelbagai sumbangan termasuk program pembangunan pendidikan, ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya.