KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengulangi saranan supaya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dapat mencipta persefahaman serta menjalinkan hubungan erat antara satu sama lain.
Menurutnya, hubungan baik antara kedua pihak itu perlu diperkukuh kerana ia penting untuk kesejahteraan rakyat.
"Berpeganglah dengan budaya politik matang dan sejahtera yang telah kita terapkan selama lebih lima tahun ini. Biarlah mereka membaling batu, tetaplah kita membalas dengan bunga.
"Justeru, saya berharap JPKK di bawah kerajaan negeri dan JPKKP yang semuanya rakyat Terengganu daripada komuniti yang sama, dapat menjalinkan kerjasama dengan erat tanpa mengira warna politik rakyat sekali gus memberikan lebih kesejahteraan kepada rakyat," katanya menerusi laman sosial rasmi pada Khamis.
Menurut Ahmad Samsuri, hubungan tidak harmoni yang wujud antara dua pihak itu akan memberi kesan tidak baik kepada rakyat.
"Sama macam konsep negeri dan negara, tak ada gunanya JPKK dan JPKKP berseteru atau mewujudkan suasana yang tidak harmoni kerana akhirnya yang akan terkesan adalah rakyat di bawah.
"Mereka (rakyat) tidak mengira apa parti politik wakil rakyat, yang mereka mahu ialah masalah dan kebajikan mereka terjaga," katanya.
Ahmad Samsuri sebelum itu telah mengutarakan pandangan sama ketika ucapan penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 pada 25 April lalu.
Isu mengenai JPKK dan JPKKP dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menurutnya, pembentukan JPKKP merupakan satu pembaziran dan disifatkan sebagai usaha untuk mengganggu serta memecahbelahkan rakyat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!