TANAH MERAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Khamis menangkap seekor gajah liar jantan yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Tal Tujuh, Jerangau.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tindakan dilakukan selepas menerima aduan gangguan haiwan itu.
Menurut beliau, seramai enam anggota daripada Jabatan Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan menjalankan pemantauan dan tangkapan.
"Tangkapan gajah itu melegakan penduduk selain mengelakkan kerugian berterusan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun tambah beliau, tangkapan dan pemindahan itu bukan penyelesaian jangka panjang kerana kawasan berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku.
Mohamad Hafid memberitahu, pihaknya sudah mengambil tindakan bagi mengurangkan konflik di kawasan terbabit dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah-langkah mitigasi.
Antara usaha yang dilakukan ialah memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk haiwan itu ke kawasan tanaman selain membersihkan kebun.
"Pekebun juga dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun
"Pembinaan SPEG ini perlu mengikut spesifikasi yang sepatutnya bagi memastikan ia berfungsi dengan baik," katanya.
Sebarang aduan serta maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!