Bekas wartawan sambilan meninggal dunia akibat serangan jantung

Iklan
Allahyarham Khairul Hamizy (kanan) merakam gambar bersama keluarganya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. (Gambar kecil: Allahyarham Khairul Hamizy)

KUALA TERENGGANU - Bekas wartawan sambilan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton bersama rakan di dewan berdekatan rumahnya di Kampung Tanjung Paya dekat sini awal pagi Jumaat.

Allahyarham Khairul Hamizy Ramlee, 38 disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini kerana tidak sedarkan diri.

Iklan
Iklan

Adiknya, Nurul Amalina Ramlee, 36, berkata, abangnya yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik sebelum ini pernah mengalami kejadian sama lima tahun lalu.

"Kami semua tak sangka dia pergi secara mengejut sebab waktu keluar bermain tu dia sihat seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Menurut Nurul Amalina, sebelum kejadian abangnya ada mengambil ubat tahan sakit kerana mengalami serangan gout pada bahagian lutut.

"Biasa juga dia ambil ubat tahan sakit kalau kena gout. Tak pasti punca sebenar kematian dia kalau ikut pada keterangan doktor, jantung arwah tersumbat.

Iklan

"Kami sekeluarga sedih, namun pasrah dengan pemergian arwah. Sedih bila ingat balik banyak kenangan berhari raya bersama-sama sempena Aidilfitri tahun ini,"ujarnya.

Katanya, jenazah abangnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang Tok Pelam dekat sini sekitar jam 2.50 petang pada Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Elmida Syafie, 36 dan tiga orang anak berusia tiga hingga sembilan tahun.

Sebelum ini, Allahyarham Khairul Hamizy bertugas sebagai wartawan sambilan sebuah akhbar tempatan di Terengganu bermula 2008 hingga 2018.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!