UNESCO anugerahkan hadiah kebebasan akhbar kepada wartawan Palestin

Iklan
Wartawan membuat liputan dari atas bangunan rosak berhadapan bangunan Hospital Al-Salam yang musnah di Khan Yunis pada 7 April lalu. Foto fail AFP

NEW YORK - Wartawan Palestin yang membuat liputan mengenai konflik di Gaza telah diberikan anugerahkan bagi meraikan kebebasan akhbar, kata Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Wartawan berkenaan dianugerahkan Hadiah Kebebasan Akhbar Dunia UNESCO/Guillermo Cano 2024 pada Khamis di Chile, lapor agensi berita Jerman (dpa),

Iklan
Iklan

"Dalam waktu kegelapan dan rasa putus asa, kami mahu berkongsi satu mesej jelas mengenai solidariti dan pengiktirafan kepada wartawan Palestin yang membuat liputan krisis ini dalam suasana yang dramatik," kata Pengerusi Juri Mauricio Weibel.

"Sebagai manusia, kita mempunyai hutang yang besar kepada keberanian dan komitmen mereka kepada kebebasan bersuara.” katanya lagi.

Iklan

Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay berkata, anugerah itu sebagai penghargaan kepada keberanian wartawan berkenaan dalam suasana yang sukar dan berbahaya.

"Sekali lagi tahun ini, hadiah ini mengingatkan kita kepada kepentingan tindakan bersama untuk memastikan wartawan di seluruh dunia boleh terus menjalankan tugas mereka untuk memberikan maklumat dan menyiasat,” katanya.

Iklan

Menurut Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York, sekurang-kurangnya 97 wartawan dan petugas media adalah daripada kalangan lebih 35,000 orang yang terbunuh dalam konflik itu sejak 7 Oktober tahun lepas dengan lebih daripada 34,000 adalah kematian warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat sementara 1,200 kematian di pihak Israel.

Setakat 1 Mei, 16 lagi wartawan dilaporkan cedera, empat hilang dan 25 orang ditahan, kata CPJ. - Bernama/dpa

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!