Dua rakan curi kabel TM didenda RM4,000

Iklan
Gambar hiasan

SELAYANG - Dua rakan masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) membabitkan kerugian ribuan ringgit, Rabu lalu.

Rosdi Ahmad, 50, dan Muhammad Fakhrullah Hafiz Ahmad Hairoji, 25, dikenakan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Chai Guan Hock.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan dua lelaki itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh itu didakwa mencuri empat kabel berkenaan di tepi Jalan 1, Taman Selayang Baru, Batu Caves di sini pada jam 4.45 pagi, 1 Mei lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara, maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya, tertuduh boleh dipenjara dan didenda atau sebatan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon dua lelaki itu dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kerugian ditanggung TM.

Iklan

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap selain tiada rekod kesalahan lampau.

"Mereka telah insaf, dan menyatakan tindakan mencuri kabel tersebut dibuat kerana memerlukan wang untuk keperluan harian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!