JUARA 14 kali, Indonesia meneruskan momentum positif apabila mengesahkan slot separuh akhir Piala Thomas setelah menjinakkan Korea Selatan, 3-1 dalam aksi suku akhir di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech, Chengdu, pada Jumaat.
Indonesia yang tampil ke pentas lapan terbaik dengan status juara Kumpulan C mengutip mata pertama menerusi pemain nombor tujuh dunia, Anthony Sinisuka Ginting.
Pemain perseorangan pertama Indonesia itu bangkit tewas set pertama 14-21 untuk menewaskan pemain ranking 47 dunia Jeon Hyeok-jin, 21-16, 21-16 dalam masa 75 minit.
Bagaimanapun, momentum itu gagal diteruskan beregu nombor satu negara tersebut, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang dijinakkan Kang Min-hyeuk-Seo Seung-jae, 15-21, 12- 21 dalam masa 37 minit.
Pemain perseorangan kedua Indonesia, Jonatan Christie kembali menyalakan harapan pasukannya apabila bangkit tewas set pertama 17-21, untuk menang ke atas Cho Geonyeop, 21-17, 21-10 dalam masa 71 minit.
Rentak kemenangan itu diteruskan Fajar Alfian-Daniel Marthin yang menang straight set ke atas Ki Dong-ju-Kim Won-ho, 21-12, 21-13 dalam masa 38 minit.
Kemenangan itu membolehkan Indonesia yang kali terakhir menjulang kejuaraan tersebut pada edisi 2020 berdepan Taiwan yang mengejutkan gergasi Eropah, Denmark, 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!