Kuasai AI, rakyat perlu tentukan sendiri nilai teknologi bukan ikut barat

Iklan
PM berucap pada Program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi, di Kangar pada malam Jumaat.

KANGAR - Rakyat di negara ini perlu segera menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) jika tidak mahu penguasaan tersebut ditentukan oleh orang asing ataupun orang barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika gagal berbuat demikian maka rakyat akan gagal kerana hampir semua bidang kini bakal dikuasai oleh AI.

Iklan
Iklan

"Kalau kita tidak menguasai AI, transformasi digital, kita akan kalah kerana dalam semua bidang pengurusan kerajaan, ketenteraan polis, imigresen, swasta pertanian, AI akan menguasai.

"Kalau kita tidak menguasai AI, yang menentukan orang lain, orang asing, orang barat, maka kita harus kuasai dan meletakkan nilai AI itu, kita yang tentukan.

Iklan

"Semalam, CEO Microsoft datang ke Malaysia setuju untuk melabur RM10.5 bilion.

"Saya tanya bagaimana tentang nilai, bagaimana sistem kita, agama kita, budaya kita, akhlak kita?

Iklan

"Kita tidak mahu ikut AI yang ditentukan oleh barat dan Amerika Syarikat," katanya pada syarahan pada Program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi di sini pada malam Jumaat.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, jawapan tersebut berada pada umat Islam dan juga rakyat di negara ini.

Jelasnya, penolakan terhadap bidang AI pernah berlaku suatu ketika dahulu kepada komputer apabila terdapat segelintir masyarakat gagal menerima kehadiran teknologi tersebut

"Ini juga seperti komputer dulu (tidak dapat menerima teknologi) ada menentang kerana ada pornografi, tidak terlawan... kita mesti ada kekuatan dalaman supaya menolak kebejatan itu sama dengan AI dan digital," ujar beliau lagi.

Pada Khamis, media melaporkan Microsoft akan melabur AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam infrastruktur awan dan AI negara untuk tempoh empat tahun akan datang.

Pelaburan itu termasuk membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!