MATA pertama penting bagi melonjakkan semangat pemain negara dalam meneruskan momentum positif pasukan pada saingan Piala Thomas Chengdu 2024.
Itu reaksi pemain perseorangan pertama, Lee Zii Jia selepas menghadirkan 'dos penggalak' kepada rakan sepasukan lain ketika berdepan Jepun di pentas suku akhir Piala Thomas 2024.
"Secara jujur saya akui mata pertama penting untuk barakan semangat pemain-pemain negara.
"Sebab itu apabila menang ke atas Nishimoto saya gembira dan percaya rakan sepasukan lain akan tampil aksi terbaik masing-masing,” katanya.
Zii Jia menjelmakan mata pertama skuad Piala Thomas 2024 negara selepas menjinakkan Kenta Nishimoto straight set, 21-13, 21-3 dalam masa 33 minit dalam aksi suku akhir di Gimnasium Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu, China pada Khamis.
Bagaimanapun momentum itu gagal diteruskan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi,21-18,14-21,19-21 dalam masa 67 minit.
Pemain perseorangan kedua negara, Leong Jun Hao kembali menceriakan kem Malaysia apabila meletakkan semula pasukannya kembali memimpin perlawanan selepas menang straight set ke atas Koki Watanabe, 21-13, 21-10 dalam masa 35 minit sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin mengesahkan mata ketiga, dengan menjinakkan Akira Koga-Taichi Saito,18-21, 21-15, 21-12 dalam aksi 66 minit.
Mengenai tekanan untuk menjelmakan mata pertama Malaysia, Zii Jia menyifatkan pengalaman bermain untuk acara berpasukan banyak membantunya mematangkan permainan di Chengdu 2024.
Sementara itu, Jun Hao menganggap aksi menentang Watanabe, ibarat perlawanan akhir ketika menjana semula kebangkitan Malaysia untuk mara ke pentas empat terbaik.
"Ya, tekanan lebih tinggi selepas first double kalah, tapi saya gembira dapat fokus memberikan aksi terbaik untuk pasukan.
"Saya pernah beberapa kali berdepan dia, cuma dalam gelanggang kali ini tidak fikir perkara lain, selain terus beri tekanan kepada dia. Saya juga terapkan difikiran bahawa ini merupakan perlawanan terakhir, jadi dari situ tekad berikan yang terbaik," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!