IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu tidak sepatutnya dipertikaikan kerana kenaikan upah penjawat awam itu sebagai menghargai sumbangan anggota yang selama ini berkorban seperti pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jelasnya, semua pihak harus sedar bahawa keamanan dan keselamatan negara ketika ini disebabkan kawalan oleh agensi-agensi seperti tentera, polis, JBPM dan sebagainya.
"Saya ingin ingatkan bukan sahaja kepada pasukan, tapi kepada masyarakat umumnya yang kadang-kadang berleter, mengeluh, pertikai beberapa keputusan bila kita nak berikan tambahan upah dan pengiktirafan kepada perkhidmatan dan penjawat awam.
"Dia tidak tahu kadang-kadang dia kata mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang kerajaan pilih untuk naikkan elaun, gaji dan upah penjawat awam.
"Dia lupa negara ini aman, negara ini selamat, dari kebakaran dari tanah runtuh semuanya kerana perkhidmatan dan pengorbanan, maka kita beri pengiktirafan," katanya ketika berucap ketika menyempurnakan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Jalan Tambun, Sunway City, Tambun di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Anwar dalam pada itu menghargai sumbangan dan pengorbanan oleh anggota JBPM yang bukan sahaja di dalam negara malah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.
"Sebab itu bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia seluruhnya, saya hadir untuk menyatakan penghargaan terima kasih atas jasa dan khidmat saudara saudari yang dimuliakan.
"Saya ingat lagi tahun lalu bila saya hadir setelah gempa bumi di Turkiye, setiap kali berjumpa dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan tak pernah lupa tentang bukan saja kehadiran ramai penyelamat negara lain hadir tetapi dia salute kerana kecekapan, kekentalan, disiplin dan semangat kasih sayang ditunjukkan oleh rakan-rakan pasukan bomba dan penyelamat," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan Anwar mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.
Pengumuman itu dibuat ketika majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Terdahulu Anwar yang tiba kira-kira jam 9 pagi menerima Hormat Perdana dan diberi penghormatan untuk memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada dua pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat.
Perhatian hadirin kemudiannya beralih ke ruang udara Tambun apabila seramai lima orang penerjun ‘Smoke Jumper JBPM' dapat dilihat melakukan terjunan payung terjun pada ketinggian 4,000 kaki dan mendarat dengan selamat sebelum menyerahkan kapak simbolik kepada Perdana Menteri yang kemudiannya meletakkan ia di slot khas sebagai gimik perasmian.
Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut pada 4 Mei setiap tahun merupakan satu acara penuh simbolik yang ditujukan khas bagi
memperingati dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti yang telah diberikan oleh anggota bomba di seluruh dunia.
Tema sambutan tahun ini, Bomba Tonggak Penyelamatan Negara telah dipilih sekali lagi bagi membawa simbolik kepada komitmen dan dedikasi JBPM untuk sentiasa menjadi benteng hadapan dan tiang utama negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!