KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan berniaga membabitkan 44 jenis bunga api jenis Happy Boom dan satu jenis Pop Pop untuk jualan umum sempena musim perayaan di Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, daripada jumlah tersebut, 36 item bunga api jenis Happy Boom dan satu item jenis Pop Pop dibenarkan untuk dijual secara online.
Menurutnya, sembilan lagi item bunga api jenis Happy Boom dibenarkan untuk dijual secara umum dengan bersyarat iaitu persatuan atau individu boleh membeli bunga api tersebut melalui syarikat pengimport yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
"Bagi peniaga kecil, peruncit, pasar raya atau ejen tidak dibenarkan menjual sembilan jenis bunga api ini. Malah ia juga tidak boleh dijual kepada pembeli kurang di bawah umur 18 tahun atau secara online mahu pun sebarang aplikasi sosial media.
"Selain itu, bagi pasar raya, pusat beli-belah, peniaga kecil atau bazar, mereka dibenarkan menjual 36 jenis bunga api dengan syarat mempunyai tempat simpan yang selamat serta memiliki lesen yang diperakui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, kalangan peruncit seperti kedai serbaneka dan pasar raya 24 jam hanya dibenarkan untuk menjual satu item bunga api sahaja iaitu jenis Pop Pop.
Katanya, bagaimanapun, pihaknya melarang penjualan sebarang bentuk bunga api di premis makanan.
"Bagi mengelakkan gangguan dan bahaya kepada orang lain, had bermain mercun adalah tidak melebihi 12 tengah malam dan hanya boleh bermain di kawasan lapang dan selamat," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, larangan bermain mercun dan bunga api masih berkuat kuasa dan tertakluk di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).