Cuaca panas: Felda Tenang, Felda Belara rekod suhu lebih 37 darjah Celsius

Iklan
Keadaan cuaca panas di daerah Kuala Terengganu menyebabkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai payung ketika berada di luar rumah.

KUALA TERENGGANU - Felda Tenang di daerah Besut dan Felda Belara di sini mencapai gelombang haba dengan merekodkan suhu panas tahap dua melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, dua lokasi tersebut mencatatkan suhu lebih 37 darjah Celcius dengan suhu terendah 37.3 darjah Celcius sementara suhu tertinggi 38.3 darjah Celcius.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suhu tersebut adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan setakat tahun ini.

"Suhu tertinggi pernah direkodkan sebelum ini antaranya di Stesen Meteorologi Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak, Besut pada tahap 37.1 darjah Celcius pada 7 Mei 2019.

Iklan

"Suhu tertinggi yang direkodkan di stesen sama pada tahun ini pula ialah 36.5 darjah Celcius," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Rosli berkata, terdapat lokasi lain yang turut mencatatkan suhu panas lebih 36 darjah Celcius melibatkan Felda Chalok, Setiu dan sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, Dungun.

Iklan

Katanya, selain itu, kawasan sekitar Jerangau, Dungun; Pengkalan Gawi di Hulu Terengganu dan sekitar Besut turut merekodkan suhu lebih 36 darjah Celcius dalam tempoh tiga hari lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat serta ramalan suhu harian di Terengganu.

Katanya, ia penting agar perancangan rapi dapat dibuat sebelum melaksanakan apa-apa program bagi meminimumkan impak negatif dari fenomena El Nino yang sedang melanda ketika ini.

"Elakkan berada di luar bangunan jika tiada keperluan mendesak dan orang ramai perlu mengikuti saranan penjagaan kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang musim panas melampau ini," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melaporkan lima kes strok haba dan kelesuan berlaku di Terengganu.

Ia melibatkan dua anggota keselamatan, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas yang dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Khamis berkata, cuaca panas luar biasa yang melanda terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah ketika ini dijangka akan berlarutan selama dua bulan lagi selain menjadi musim paling panas dunia.

Menurutnya, cuaca panas ini melibatkan dua aspek iaitu fenomena El Nino yang bermula sejak tahun lepas termasuk dua kes melibatkan kematian akibat strok haba antaranya di Kelantan selain faktor perubahan iklim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!