Kereta, rumah pemandu lori ditembak ketika nyenyak tidur

Iklan
Keadaan kereta mangsa yang dipercayai terkena tembakan.

PASIR MAS - Seorang pemandu lori terkejut dan bingung selepas mendengar tembakan di pekarangan rumahnya ketika sedang tidur dalam kejadian di Kampung Apa-Apa di Gelang Mas di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, lelaki berusia 30-an berkenaan terus bergegas melihat kawasan sekitar dan mendapati kereta jenis Perodua Viva serta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terdapat kesan tembakan.

Iklan
Iklan

"Saya mendengar beberapa das tembakan sebelum keluar memeriksa keadaan di luar rumah.

"Saya juga terkejut apabila melihat beberapa kesan tembakan di dinding rumah, manakala cermin kereta yang diparkir di hadapan rumah juga pecah," katanya.

Iklan

Bagaimanapun, mangsa bersyukur kerana dia dan keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagi menjaga keselamatannya sekeluarga, mangsa terus membuat laporan polis dan menyerahkan perkara itu untuk siasatan.

Iklan

Sementara itu, jiran mangsa berusia awal 60-an berkata, dia ada mendengar bunyi bising kira-kira jam 3 pagi tetapi tidak mengendahkannya kerana menganggap tiada perkara pelik berlaku.

Tambahnya, ketika bangun untuk solat Subuh, dia melihat sepasukan polis berada di kawasan kejadian.

"Mangsa seorang yang sangat baik serta rajin bekerja selama tinggal di rumah berkenaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan siasatan akan dilakukan bagi mengesan suspek.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!