Piala Uber: Indonesia kejutkan Korea Selatan untuk ke final sejak 2008

Iklan
Pemain Pasukan Piala Uber Indonesia selepas berjaya menewaskan pasukan Korea pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Uber 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone, pada Sabtu. Foto Bernama

INDONESIA hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan Piala Uber pertama mereka dalam tempoh 28 tahun apabila mengejutkan juara bertahan Korea Selatan 3-2 pada aksi separuh akhir hari ini.

Pemain perseorangan ketiga, Komang Ayu Cahya Dewi dari Bali muncul wira Indonesia selepas menundukkan Kin Min Sun 17-21, 21-16, 21-19, sekali gus membawa negaranya ke final pertama mereka selepas 16 tahun.

Iklan
Iklan

Indonesia yang tewas 3-0 pada aksi final 2008 kepada China bakal berdepan lawan sama pada perlawanan akhir esok selepas pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Jepun dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone pada Sabtu.

Indonesia, juara tiga kali kejohanan itu berjaya memanfaatkan ketiadaan pemain perseorangan wanita nombor satu dunia An Se Young disebabkan sakit apabila pemain ranking kesembilan dunia Gregoria Mariska Tunjung mengetepikan Sim Yu Jin yang menduduki ranking ke-37 dengan keputusan 21-15, 21-13 untuk meraih mata pertama.

Iklan

Bagaimanapun, beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee menyamakan kedudukan untuk Korea Selatan apabila menewaskan pasangan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-6, 21-18 sebelum Indonesia kembali di depan apabila perseorangan kedua Ester Nurumi Tri Wardoyo menewaskan Kim Ga Ram 20-22, 21-16, 21-12.

Korea Selatan membuktikan kehebatan dalam acara beregu selepas pasangan kedua mereka, Jeong Na Eun-Kong Hee Yong menewaskan Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugarto 21-15, 21-14, sebelum Komang Ayu menyumbang mata kemenangan Indonesia dalam pertarungan selama 69 minit.

Iklan

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Komang Ayu yang merupakan pemain ranking ke-56 dunia menzahirkan rasa lega kerana dapat membawa Indonesia ke final setelah gagal melepasi peringkat suku akhir bagi enam edisi berturut-turut sebelum ini.

"Peluang untuk menang esok pastinya ada cuma kami perlu berusaha yang terbaik, semoga Tuhan izinkan kami menang esok,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor dua dunia, Chen Yu Fei memberikan China permulaan memberangsangkan apabila menewaskan Aya Ohori, 21-18, 21-15, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pemain Jepun berkenaan dalam 12 pertemuan.

Pada perlawanan kedua, pasangan beregu nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi gandingan nombor empat dunia Nami Matsuyama-Chiharu Shida 14-21, 21-13, 23-21 dalam pertarungan sengit selama 85 minit.

Perseorangan kedua tuan rumah He Bing Jiao kemudian mengesahkan tiket ke final apabila menewaskan Nozomi Okuhara 21-8, 21-18.

Bing Jiao yang berpuas hati dengan permainannya berharap China akan menebus kekalahan 2-3 kepada Korea Selatan pada edisi lepas untuk merangkul kejuaraan Piala Uber ke-16 di hadapan penyokong sendiri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!