SUBANG - [DIKEMAS KINI] Situasi terdesak selepas suami dibuang kerja seminggu sebelum Aidilfitri menyebabkan ibu kepada empat anak nekad memberanikan diri menceburi bidang perniagaan pada 2020.
Bermula dengan khidmat katering sarapan pagi, Norol Hidayah Ahmad Khalipah, 33, kemudian mengembangkan pula perniagaan tempahan kuih tradisional secara dalam talian di bawah Dayah Kitchen setahun kemudian.
Dia tidak menyangka ilmu membuat kuih tradisional yang diwarisi daripada ibunya akan menjadi hasil pendapatan buat mereka sekeluarga.
"Arwah mak saya dulu peniaga kuih tapi dahulu saya boleh hidup dengan pendapatan suami jadi tak ada sebab untuk saya terjun dalam bidang perniagaan.
"Bagaimanapun, selepas terdesak (suami hilang kerja) jadi saya gunakan resipi yang ada itu untuk berniaga," kongsinya pada Program Pembangunan Usahawan Women of Will (WOW) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang pada Sabtu.
Norol Hidayah berkata, di peringkat permulaan dia berniaga sekadar untuk kelangsungan hidup sebelum diberikan tunjuk ajar teknik perniagaan dan pemasaran di bawah program program WOW.
"Sebelum sertai WOW, saya tidak ambil berat soal pendapatan harian, yang saya fikir asalkan makanan terjual dan dapat duit untuk berbelanja.
"Namun selepas ikuti WOW terdapat kursus pengurusan wang dan dari situ saya sudah mula buat laporan kewangan, bajet perbelanjaan dan simpanan," katanya.
Ujarnya, banyak perubahan diperoleh sejak menceburi perniagaan antaranya sudah memiliki wang simpanan sendiri.
"Kalau dulu walaupun suami bekerja, saya tidak pernah ada simpanan namun selepas melalui zaman kejatuhan itu kita ambil pengajaran buat persediaan kewangan bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga anak-anak.
"Setiap hari saya akan simpan RM5 untuk setiap anak, manakala saya RM10 yang wang tersebut saya pindahkan ke dalam akaun," katanya.
Katanya, perniagaan juga semakin meluas yang kini tidak tertumpu hanya di kawasan Lembah Subang sebaliknya turut menerima tempahan hingga Kuala Lumpur dan Sepang.
"Setakat ini, kami masih beroperasi dari rumah dan menggunakan menggunakan khidmat penghantaran.
"Setiap hari tempahan masuk dan walaupun suami ada mendapat tawaran kerja tapi saya minta suami kerja dengan saya saja.
"Kini hasil jualan boleh mencecah hingga RM6,000 berbanding kurang RM1,000 sebelum menyertai program WOW," katanya.
Kongsinya, untuk pelan jangka masa panjang, dia berharap dapat berniaga secara foodtruck untuk bergerak ke lokasi tumpuan pelanggan berbanding berniaga statik dari rumah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!