Pasir Mas hadapi gelombang haba tahap dua cecah 40 darjah Celcius

Iklan
MetMalaysia dalam kenyataannya pada Sabtu menyatakan Pasir Mas menghadapi gelombang haba tahap dua sehingga mencecah suhu 40 darjah Celcius.

PASIR MAS - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya pada Sabtu menyatakan Pasir Mas menghadapi gelombang haba tahap dua sehingga mencecah suhu 40 darjah Celcius.

Jajahan lain di Kelantan seperti Jeli, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Kota Bharu pula berada di tahap satu iaitu berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Iklan
Iklan

Pada hari ini beberapa kawasan di Kelantan seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Bharu serta beberapa kawasan lain telah menerima hujan, namun tidak menyeluruh.

Seorang penduduk Rantau Panjang yang ditemui, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 47, yang merupakan penjual air tuak berkata, jualannya merosak teruk disebabkan musim kemarau melampau yang melanda.

Iklan
Mohamad Naziz terpaksa keluar berniaga sekitar jam 4.30 petang hingga 7 malam sahaja kerana tidak sanggup hendak menjual di tepi jalan walaupun di bawah pokok kerana cuaca terlampau panas.

"Saya merupakan peniaga jalanan di bawah pokok, setiap hari keluar berniaga bermula jam 10 pagi hingga 7 malam.

"Semenjak cuaca panas yang melampau ini, pelanggan hanya keluar membeli pada sebelah petang sahaja sekitar jam 4 petang ke atas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, keadaan cuaca panas ketika ini menyebabkan orang ramai memilih berada di rumah berbanding di luar.

Dia yang telah berniaga air tuak sejak 10 tahun lalu itu berkata, tahun ini paling teruk kemarau sehingga menyebabkannya terpaksa keluar berniaga sekitar jam 4.30 petang hingga 7 malam sahaja.

"Saya sendiri tidak sanggup hendak menjual di tepi jalan walaupun di bawah pokok kerana cuaca terlampau panas," katanya.

Sementara itu, petani dari Bunut Susu di sini, Muhammad Aiman Asyraf Muhammad, 23, berkata, dia terpaksa menghadkan pergerakan susulan cuaca panas melampau ketika ini.

"Saya terpaksa turun ke kebun pada waktu malam disebabkan cuaca panas. Kalau waktu pagi, saya hanya mampu bertahan setakat jam 10.30 pagi sahaja. Selepas itu pulang ke rumah untuk berehat sebelum kembali semula jam 8 malam.

"Jika tidak berbuat demikian berkemungkinan besar saya berisiko untuk terkena strok haba," katanya.