JITRA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta maaf sekiranya ada memberi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks hubungan sesama manusia (hablumminannas).
Muhammad Sanusi berkata, beliau adalah manusia biasa yang tidak maksum dan permohonan maaf itu dibuat bagi pihak dirinya dan kerajaan negeri selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik.
Beliau menyifatkan, sebagai insan yang lemah, ketelanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri masing-masing.
"Apabila ditakdirkan kita diangkat menjadi pemimpin, perbezaan sikap dan watak itu haruslah ditangani dengan nilai yang adil dan saksama," katanya.
Beliau berucap sedemikian sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Tasik Darulaman Jitra,di sini, pada Sabtu.
Hadir sama,Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau menambah, pendekatan dalam menangani perbezaan ini haruslah berdasarkan topi yang dipakai, medan berbeza dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan.
Muhammad Sanusi berpendapat, masalah akan berlaku apabila perbezaan politik dicampur adukkan dengan tanggungjawab dalam pentadbiran.
Menurutnya lagi, perjuangan pihaknya di peringkat negeri sudah tentu untuk rakyat dan negeri selaras dengan sumpah dan amanat yang dipikul selaras dengan konsep federalisme dan sistem demokrasi.
Kata Muhammad Sanusi, sebagai pemimpin, beliau yakin semua sentiasa meletakkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
"Ia sebagaimana nasihat ahli falsafah demokrasi Perancis, Baron de Montesquieu iaitu To become truly great, one has to stand with people, not above them," katanya.
Beliau menyifatkan, kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik.
"Apa-apa yang bersifat politik sepatutnya hanya dibawa ke medan politik manakala yang bersifat pentadbiran dan pemerintahan, harus dijalankan di atas landasannya.
"Ini akan memastikan kita sebagai ahli politik yang diangkat menjadi pemimpin, sentiasa berhati-hati dan berwaspada pada semua keadaan dan situasi termasuklah ketika menyuarakan pandangan dan permintaan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan," katanya.
Beliau berkata, pihak pentadbiran negeri sentiasa mengharapkan agar Kedah yang bertuah ini akan sentiasa diberikan perhatian dan tidak dipinggirkan.
Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi melahirkan harapan pelan pembangunan yang telah disusun di Kedah termasuk Kedah Aerotropolis yang memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan akan segera diluluskan.
Jelas beliau, Kedah Aerotropolis meliputi komponen termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ingin dibangunakan sebagai hab kargo serantau amat penting sebagai ‘economic game changer’ negara khususnya di wilayah utara.
"Pembangunan bandar udara ini kita yakin akan jadi pencetus kepada kebangkitan Kedah, sekali gus mengeluarkan negeri ini daripada senarai negeri miskin di Malaysia
"Saya yakin rakyat Kedah akan lebih mengasihi Yang Amat Berhormat Datuk Seri jika projek ini diluluskan sekarang," katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi memberitahu, beliau amat menghargai pertemuan pada malam sambutan, yang mana ia adalah momen yang cukup bermakna untuk menyatukan hati dalam satu berkas perjuangan, meminimumkan perbezaan untuk seiring melangkah dalam membela nasib rakyat.
"Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab dalam usaha membela nasib rakyat agar tidak tambah terbeban dengan cabaran semasa," katanya.