MIKEL Arteta berjanji Arsenal akan terus cuba memberikan saingan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan berdoa agar harapan mereka muncul juara menjadi kenyataan.
Arsenal terus berada di kedudukan teratas EPL selepas menewaskan Bournemouth 3-0 di Stadium Emirates hasil gol daripada Bukayo Saka, Leandro Trossard dan Declan Rice.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal mengumpul 83 mata daripada 36 perlawanan.
Manchester City pula terus merapatkan kedudukan apabila menang 5-1 ke atas Wolverhampton Wanderers untuk memungut 82 mata selain turut mempunyai satu kelebihan perlawanan dalam tangan.
Dengan kedudukan ini, Arsenal tidak dapat mengawal perburuan gelaran juara dan jika jika City mampu memenangi tiga perlawanan terakhir, maka secara automatik mereka menjadi juara liga.
Sementara itu, Arsenal cuma boleh mendapatkan enam mata dalam dalam dua perlawanan terakhir selain mengharapkan City tersungkur.
"Ya sedikit beremosi (persaingan gelaran juara). Kami memenangi dua perlawanan sukar minggu lalu. Kami berharap ada sesuatu yang berlaku, tetapi tidak menjadi kenyataan.
"Kami hanya boleh menang dua perlawanan terakhir dan berdoa," katanya.
Arsenal akan bertemu Manchester United pada 12 Mei sebelum menghadapi Everton pada 19 Mei.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!