Kealpaan Speedy Tigers dimanfaatkan Pakistan

Iklan
Bintang Speedy Tigers, Azrai Abu Kamal (kanan) diasak pemain Pakistan dalam perlawanan Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

KEALPAAN skuad hoki lelaki negara menyaksikan The Speedy Tigers terpaksa berputih mata apabila tewas 4-5 kepada Pakistan dalam perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak pada Sabtu.

Biarpun begitu, pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh memuji komitmen tinggi yang diberikan skuad hoki lelaki berwajah baharu dalam perlawanan kompetitif tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami dihukum kerana melakukan beberapa kesilapan yang dimanfaatkan Pakistan untuk menjaringkan gol.

"Tetapi pujian juga harus diberikan kepada pemain-pemain yang menunjukkan komitmen cukup tinggi dalam perlawanan ini.

Iklan

"Seperti saya cakap sebelum ini, perancangan kami untuk jangka panjang dan jika lebih banyak perlawanan seperti ini, pemain-pemain akan belajar untuk kurangkan melakukan kesilapan.

"Pada lima minit terakhir kami terikut-ikut rentak lawan sehingga kami dihukum tetapi saya harap perlawanan seterusnya penyokong-penyokong akan terus datang memberi sokongan kepada kami,” ujarnya.

Iklan

Speedy Tigers tampil ke Stadium Sultan Azlan Shah dengan motivasi tinggi diiringi sokongan padu penyokong-penyokong tempatan.

Bagaimanapun Pakistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti Sufyan Khan.

Speedy Tigers kemudian pantas bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal minit ke-13 sebelum menambah lagi jaringan (minit ke-28) bagi meletakkan Malaysia memimpin 2-1 sebelum menuju bilik persalinan.

Separuh masa kedua, Speedy Tigers meningkatkan intensiti permainan, hasilnya Azrai Aizad mencetak hatrik pada minit ke-45 juga menerusi pukulan sudut penalti.

Pakistan kemudian kembali merapatkan kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti Sufyan minit ke-50, sebelum Hayat Zikriya menyamakan kedudukan minit ke-53 hasil gol padang.

Speedy Tigers kembali di depan pada minit ke-58 menerusi Shello Silverius untuk gol keempat namun dineutralkan semula Sufyan seminit kemudian, sebelum Abu Bakar Mahmood meledak gol kemenangan hasil penalti stroke pada minit ke-60.

Sementara itu, pengendali Pakistan, Roelant Oltmans menyifatkan kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang menarik dalam perlawanan tersebut.

"Ia sangat menarik untuk ditonton dan kami bernasib baik memenangi perlawanan ini.

"Malaysia melakukan kesilapan dan kami memanfaatkan peluang itu, begitu juga, dua kesilapan kehilangan bola di tengah yang tidak sepatutnya dilakukan pemain saya sehingga memberi gol kepada Malaysia.

"Pujian untuk pemain-pemain, kami hanya berlatih tidak sampai seminggu untuk menghadapi kejohanan ini,” katanya.


INFO

Piala Sultan Azlan Shah 2024

Jadual perlawanan

5 MEI

Malaysia lwn Kanada

7 MEI

Malaysia lwn New Zealand (juara dua kali)

8 MEI

Malaysia lwn Jepun

10 MEI

Malaysia lwn Korea Selatan (juara tiga kali)

* Semua aksi Malaysia dijadualkan bermula jam 8.30 malam di Stadium Azlan Shah, Ipoh

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!