PEP Guardiola percaya Erling Haaland telah kembali menemui sentuhan penyudah selepas meledak empat gol dalam kemenangan 5-1 Manchester City ke atas Wolves.
Haaland menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama, termasuk dua sepakan penalti sebelum menambah gol keempatnya selepas rehat untuk menjadikan jumlah gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini kepada 25 gol di Stadium Etihad.
Guardiola gembira dengan prestasi ditunjukkan Haaland yang gagal mendapatkan rentak terbaiknya apabila sebelum ini dia mengalami kecederaan.
"Erling kembali beraksi. Penalti adalah jaminan gol tetapi (tandukan) kedua dan keempat sukar dipercayai. Untuk kembali ke prestasi terbaiknya, dia memerlukan masa," katanya.
Kemenangan itu mengekalkan City satu mata di belakang Arsenal tetapi pasukan kendalian Guardiola itu mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Jika mereka berjaya menewaskan Fulham Sabtu depan dan pasukan Mikel Arteta tewas di Manchester United, City boleh mengekalkan kejuaraan dengan menewaskan Tottenham Hostpur pada Selasa.
"Seminggu lagi dan tiga perlawanan lagi. Sembilan mata kami akan menjadi juara.
"Kami tidak boleh seri. Cara Arsenal bermain sangat bagus dan konsisten. Ia adalah tiga perlawanan, mudah-mudahan kami memenangi perlawanan pertama dan kedua dan tiba di perlawanan ketiga (West Ham) dengan nasib kami di tangan kami sendiri,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!