HULU SELANGOR - Kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis sedia menggalas tanggungjawab memimpin negeri itu disifatkan hanya pandangan peribadi ketuanya, Abu Bakar Hamzah.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan kepemimpinan negeri paling utara tanah air itu juga tidak pernah dibincangkan dalam Perikatan Nasional (PN).
"Jadi saya tidak mahu komen pandangan individu kerana prinsip yang kita pegang mestilah dibincang dalam PN peringkat negeri.
"Memang tidak ada dibincangkan, tiada sebab, (malah) tak timbul soal perubahan kerajaan negeri di Perlis,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Kelompok di Taman Ampang Pechah pada malam Sabtu.
Sebelum ini, Abu Bakar dilapor memberitahu Bersatu sedia menggalas tanggungjawab memimpin negeri itu sekiranya diminta berbuat demikian.
Ia rentetan krisis integriti yang melanda kepimpinan negeri itu terutama melibatkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PN Kuala Kubu Baharu menegaskan, setiap perkara yang berlaku dalam PN dibincangkan semua parti komponen dalam gabungan itu dan dimuafakati atas prinsip kebersamaan.
"Dalam PN tiada amalan 'big brother' (abang besar), semua parti adalah sama dan mempunyai hak untuk berbincang, bukan soal pandangan individu.
"Termasuk sebagai contoh calon di Kuala Kubu Baharu, betul, di sini pernah ditandingi calon PN dari Gerakan, tetapi berdasarkan sentimen, kajian selidik dan tinjauan di lapangan, semua parti bersetuju bahawa Khairul Azhari Saut adalah calon terbaik," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!