REAL Madrid dinobatkan sebagai juara La Liga selepas Girona berjaya menewaskan juara musim lalu, Barcelona 4-2 dalam perlawanan yang berlangsung pada awal pagi Ahad.
Pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu terlebih dahulu menewaskan Cadiz 3-0 dan selepas Barcelona tersadung menentang Girona, Los Blancos dinobatkan sebagai juara untuk kali ke-36.
Brahim Diaz menjaringkan gol pada minit ke-51 untuk meletakkan Madrid di depan dan kemudian Ancelotti memasukkan Jude Bellingham, dengan Joselu menjaringkan gol ketiga.
"Kami mempunyai kempen liga yang menakjubkan. Kami telah membuat sedikit kesilapan namun kami berhak mendapatkan kejuaraan ini," kata Ancelotti.
Kemenangan selesa Madrid ke atas Cadiz membolehkan mereka mendahului 14 mata daripada juara musim lalu Barcelona, di tempat ketiga, dengan hanya berbaki empat perlawanan.
Girona pula di kedudukan kedua selepas kemenangan kedua ke atas Barcelona musim ini mengekori Madrid dengan 13 mata.
"Kami memberikan segalanya di atas padang untuk menghidupkan detik seperti hari ini," kata penyerang Madrid, Joselu kepada Real Madrid TV.
"Ada pemain muda yang sangat dahagakan kejuaraan, pemain veteran yang gembira berada di sini... dan ini adalah detik istimewa," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!