KOTA TINGGI - Penduduk di Kampung Temenin Baru dekat sini tidak menduga diuji banjir kilat pada Sabtu meskipun cuaca agak panas sejak sebulan lalu dan mendakwa kejadian itu kali kedua berlaku tahun ini selepas kali pertama pada Mac lalu.
Pesara tentera, Mohd Aziz Harun, 63, berkata, kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam bermula pada kira-kira jam 7 pagi.
"Memang tak sangka memandangkan sekarang ini musim panas dan berlaku banjir kilat dalam sekelip mata selepas hujan lebat turun pada awal pagi.
"Saya tidak sempat berbuat apa-apa dan peralatan dapur banyak rosak. Kerja-kerja mengemas sudah dilakukan selepas banjir mula surut sepenuhnya pada sebelah petang Sabtu," katanya.
Mohd Aziz turut mengakui sejak kebelakangan ini kawasan kampung yang terletak kira-kira enam kilometer dari Gunung Panti kerap dinaiki air apabila hujan lebat berterusan.
Katanya, keadaan sungai yang semakin berdepan hakisan dan dipercayai tidak diselenggara berkemungkinan menyebabkan berlakunya banjir.
"Saya berharap pihak berkaitan dapat menjalankan siasatan dan segera menyelesaikan isu ini bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Dalam pada itu, seroang lagi penduduk, Hashimah Awang, 64, berkata, dia tidak membuat sebarang persiapan kerana tidak menyangka akan berlaku banjir kali ini.
Suri rumah itu memberitahu, dia hanya mengetahui kawasan rumahnya dinaiki air selepas dihubungi jiran pada pagi Sabtu kerana ketika itu berada Johor Bahru bagi mengikut kelas agama.
"Saya terus pulang ke rumah dan lihat banyak peralatan dan karpet yang rosak akibat ditenggelami banjir. Biasanya, kami buat persiapan kerana banjir berlaku sewaktu musim hujan tetapi kali ini ketika musim panas.
"Saya dan suami bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan ( SK) Bukit Lintang dan pagi ini saya pulang untuk membersihkan rumah," katanya.
Bagi, Raffee Amal,73, pula menyifatkan banjir kali ini agak teruk kerana tiada sebarang persiapan yang dibuat.
"Banjir pertama saya hadapi pada tahun 2018, keadaan agak teruk ketika itu tetapi kami masih sempat buat persiapan. Cuma kali ini, tidak sangka musim panas boleh banjir.
"Saya harap pihak berkaitan dapat mendalamkan sistem saliran bagi mengelak kejadian banjir berulang," katanya yang juga pemandu teksi.
Setakat jam 12 tengah hari pada Ahad, seramai 300 orang penduduk daripada 69 keluarga masih berlindung di PPS SK Bukit Lintang.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, bilangan mangsa banjir di PPS itu tidak berubah sejak malam Sabtu.
"Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Bukit Lintang merupakan penduduk Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.
"PPS SK Bukit Lintang merupakan satu-satu PPS yang dibuka di negeri ini sejak jam 12.30 tengah hari pada Sabtu," katanya dalam kenyataan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!