PRK KKB: Ahmad Fadhli selar perbuatan heret nama Agong ke medan kempen

Iklan
Ahmad Fadhli (kiri) dan Hantaran Ahmad Fadhli di Facebooknya pada Ahad.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyelar perbuatan mengheret nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke medan kempen pilihan raya seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, perbuatan berkempen dengan mengheret institusi diraja tidak sepatutnya berlaku.

Iklan
Iklan

"Saya yakin pihak Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pun tidak tahu menahu tentang aktiviti ini.

"Janganlah terdesak sangat nak berkempen sehingga mengheret nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Menerusi hantaran itu, Ahmad Fadhli turut memuat naik gambar sebuah pacuan empat roda yang turun berkempen pada PRK KKB dengan memaparkan gambar Sultan Ibrahim.

Perbuatan tidak bertanggungjawab mempamerkan gambar Agong itu turut menerima kritikan ramai warganet yang meminta pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan.

Iklan

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan 11 Mei depan sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada Selasa ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!