Pemimpin jaga satu kampung, cadangan dibentang pada Kabinet - Anwar

Iklan
Anwar beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun, pada Ahad. Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar setiap pemimpin di negara ini termasuk perdana menteri dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.

Berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada Ahad, beliau berkata, cadangan itu akan turut melibatkan Ahli Jemaah Menteri, pimpinan tertinggi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.

"Ia akan dimulakan di Cherok Tok Kun. Anwar Ibrahim akan jaga Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam. Bagaimana saya jaga..saya akan panggil semua wakil masyarakat di kampung itu dan dia kena bagi tahu semua masalah yang ada di situ.

Iklan

Anwar menyifatkan cadangan tersebut merupakan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi di kampung selain pegawai daerah dan kerajaan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Anwar pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun, pada Ahad. Foto Bernama

Beliau yakin cadangan pertama kali itu akan memudahkan penyelarasan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama ketua atau wakil kampung.

Iklan

Menurutnya, cadangan setiap pemimpin menjaga satu kampung itu juga akan membuahkan hasil kerana ia akan melibatkan semua menteri, pimpinan tertinggi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang secara langsung mendengar masalah yang dihadapi masyarakat kampung di bawah tanggungjawabnya.

"Kalau kita ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), setiausaha kerajaan negeri, semua ini kalau kita kumpul semua ini ada 2,000 orang yang jawatan-jawatan tinggi dan kemudian kita jemput pula syarikat-syarikat.

"Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, pengarah eksekutif Petronas. Dia jaga kampung dia. Dia pergi situ bukan sebagai Tan Sri, dia pergi sebagai anak kampung dengar masalah orang kampung. Jadi, dia nanti cuba selesaikan, lebih senang," katanya.

Beliau juga berkata, cadangan tersebut berikutan hasil perjumpaannya bersama pemimpin masyarakat Permatang Pauh dan Cherok Tok Kun pagi tadi.

Menyentuh mengenai subsidi kerajaan, Perdana Menteri menegaskan bahawa harga bahan api, gula dan beras di negara ini masih terkawal, malah antara yang terendah berbanding negara-negara lain berikutan subsidi yang diberikan kerajaan.

"Ingat ya. Harga minyak di Arab Saudi berapa? RM2.95, berapa di Malaysia? RM2.05 pikiaq (fikirlah), Arab Saudi itu pengeluar minyak terbesar di dunia. Dia tak boleh turun harga lebih pada itu kerana kerajaan tidak mampu. Dia terpaksa pertahankan harga.

"Maknanya harga minyak kita terkawal. Gula, kita murah daripada Siam (Thailand), murah daripada Singapura, murah daripada Indonesia. Beras murah lagi. Minyak paling murah," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Pendidikan. Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!