'Mak mana tak sayang anak walaupun mereka buat salah'

Iklan
Pelukan hangat daripada seorang ibu memberikan semangat biarpun anaknya kini sedang menjalani hukuman penjara.

SUNGAI PETANI - Pelukan dan tangisan antara momen yang dapat disaksikan sempena Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Sungai Petani di sini pada Ahad.

Siti, 60-an (bukan nama sebenar) dari Terengganu tidak mampu menahan sebak akibat terlalu rindu anak keduanya, Man, 49, yang tidak ditemui sejak setahun lalu.

Iklan
Iklan

Lebih malang, Siti menceritakan, semasa kematian suaminya November lalu, Man tidak dibenarkan pulang akibat sedang menjalani hukuman penjara.

"Rindu sangat sebab tu sanggup datang dari jauh, secara kebetulan ada kenduri di Kuala Lumpur, jam 4 pagi tadi bertolak dari sana, sampai sini 8 pagi terus dibawa masuk ke dalam majlis.

Iklan

"Mak mana tak sayang anak walaupun mereka dah buat kesalahan...tetap sayang," jelasnya sebak.

Man bersalaman dan memohon ampun kepada ibunya yang dijemput hadir dari Terengganu untuk menyertai Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Sungai Petani pada Ahad.

Man antara 17 penghuni yang dibenarkan menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing selain dijamu dengan juadah hari raya antaranya ketupat, rendang dan kuih-muih lain.

Iklan

"Saya berjanji berubah lepas ni, minta maaf ibu," kata Man.

Seorang lagi ibu, Aminah, 60-an (bukan nama sebenar) turut dilihat mengalirkan air mata saat anaknya diberi peluang duduk semeja bagi menikmati juadah hari raya bersama.

Aminah yang datang bersama ahli keluarga lain dilihat berpelukan bagi melepaskan rindu setelah anaknya berusia 24 itu dijatuhkan hukuman di penjara berkenaan.

Aminah tidak dapat menahan sebak ketika diberi peluang bertemu anaknya sempena Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Sungai Petani pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Sungai Petani, Penguasa Penjara Zaini Ahmad berkata, Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri itu dijadikan platform antara pengurusan dan kakitangan untuk bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturahim bersama penghuni terpilih serta keluarga.

"Signifikannya, kekeluargaan ini dapat menunjukkan bahawa jabatan sentiasa menghargai dan menyantuni semua prospek tanpa mengira latar belakang kerana ini adalah amanah buat kami di Jabatan Penjara Sungai Petani bagi mendidik mereka untuk kembali kepada masyarakat sebagai insan yang bertamadun," jelas beliau.

Zaini (dua kiri) bermesra bersama penghuni penjara dan keluarga sempena Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Sungai Petani pada Ahad.

Dalam majlis sama, tetamu turut dihidangkan dengan persembahan nyanyian yang didendangkan oleh pelajar Sekolah Integriti Sungai Petani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!