HULU SELANGOR - Masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) disaran tidak mengikut emosi serta terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu supaya memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei ini.
Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, V Mugilaan berkata, komuniti itu perlu memanfaatkan undi dengan memilih wakil rakyat yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk kawasan berkenaan, tanpa meminggirkan mana-mana kelompok.
Beliau berkata, pemilihan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan juga akan memberi kelebihan kepada pengundi di kawasan itu dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan.
"Boikot bukan jalan penyelesaian kepada apa-apa isu pun, kita kena bijak dan jangan kerana emosi kita rugikan benda yang penting dan banyak memberi manfaat kepada masyarakat India. ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) terdahulu (mendiang Lee Kee Hiong) telah melakukan kerja yang cukup baik, orang sini kenal dan tahu apa sumbangan beliau.
Anak kelahiran Kerling itu berkata, Sonc Tao, 31, perlu diberi peluang untuk menabur bakti di KKB serta membuktikan kemampuannya.
"Dia muda dan mempunyai pendidikan yang bagus. Kita hormati kelulusannya kerana untuk jadi pemimpin yang baik, latar belakang pendidikan itu penting.
"Dia juga boleh bergaul dengan semua kaum dengan baik selain ada pengalaman kerja dengan beberapa menteri dan pimpinan utama, dan itu akan bawa manfaat kepada penduduk di KKB,” katanya.
Kerling adalah antara kawasan yang berada di bawah DUN KKB.
Sementara itu Mugilaan berkata, isu yang membelenggu masyarakat India di KKB seperti ketiadaan dewan serbaguna bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan serta keadaan jalan raya yang teruk di Batu Dua hingga Lembah Beringin di Kerling adalah antara isu yang memerlukan perhatian segera kerajaan.
"Dulu saya perjuangkan untuk mewujudkan Pusat Krematorium dan ia telah pun menjadi kenyataan. Krematorium ini telah memberi manfaat kepada masyarakat India di sini kerana mereka tidak perlu lagi melakukan ‘cremate’ di Cheras misalnya yang agak jauh.
"Jadi dengan adanya dewan serbaguna itu nanti, masyarakat India di sini dapat menjalankan pelbagai aktiviti,” kata Mugilaan yang merupakan pengundi DUN berkenaan.
PRK KKB yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser, menyaksikan Pang ditentang oleh Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) serta Nyau Ke Xin (Bebas). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!