GAZA CITY - Seorang pegawai kanan Hamas berkata kumpulan itu menolak gencatan senjata yang tidak sepenuhnya menamatkan perang di Gaza selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu 'menghalang perjanjian' tersebut.
Pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) bertemu dengan delegasi Hamas pada Sabtu sebagai usaha terbaharu menamatkan perang yang memasuki tujuh bulan dan mencetuskan protes di seluruh dunia.
Negara-negara ini akan mendengar jawatan daripada kumpulan pejuang terhadap cadangan sebagai usaha terbaharu menghentikan perang selama 40 hari dan menukar tebusan tahanan Palestin.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Hamas menegaskan pada Sabtu bahawa kumpulan itu 'tidak bersetuju dalam apa jua keadaan' untuk gencatan senjata.
Pegawai yang enggan nama disiarkan mengutuk usaha Iarael mendapatkan perjanjian pembebasan tebusan 'tanpa mengaitkan dengan menamatkan pencerobohan di Gaza.
Malah, Hamas menyatakan Netanyahu 'secara peribadi menghalang' usaha mencapai gencatan sejata 'demi kepentingan diri'.
Sebelum ini, seorang pegawai Israel menuduh Hamas 'menggagalkan kemungkinan untuk mencapai persetujuan dengan enggan menurut tuntutannya menamatkan perang'.
Walaupun, diplomasi dilakukan selama berbulan-bulan, negara pengantara dikatakan gagal mencapai gencatan senjata baharu yang menyaksikan seramai 105 tebusan dibebaskan pada November lalu.
Rundingan sebelum ini terbantut apabila Hamas menuntut gencatan senjata berkekalan manakala Netanyahu meneruskan serangan terbadap penduduk Gaza di bandar Rafah.
Sehingga kini, Israel belum menghantar delegasi ke Kaherah, Mesir dan pegawainya memberitahu AFP bahawa mereka akan berbuat demikian jika terdapat 'pergerakan positif' terhadap rangka kerja yang dicadangkan. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!