SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menjadi penanda aras sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas lebih setahun gabungan itu membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, PRK berkenaan akan memperlihatkan sama ada calon PH mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dapat terus mengekalkan momentum pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
"Ini merupakan cabaran besar kepada PH kerana dua lagi DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali adalah di bawah penguasaan Perikatan Nasional (PN).
"Pilihan raya kecil lazimnya menjadi platform bagi rakyat untuk menghantar isyarat semasa akan sokongan kepada kerajaan sedia ada ataupun sebaliknya
"Persoalannya adakah jumlah peratusan pengundi yang akan turun mengundi di Kuala Kubu Bharu kelak, secara langsung mencerminkan perasaan rakyat yang semakin kecewa dengan janji ahli politik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
"Percaturan politik PN tidak pernah lari daripada sentimen dengan meletakkan calon berbangsa Melayu, Khairul Azhari Saut.
"Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dianggap berjiwa besar kerana memberi laluan untuk Pas meletakkan calonnya.
"Namun adakah ini bermakna manifesto, bahan serta kaedah kempen setiap calon adalah wajar sekadar janji pembaharuan bersifat generik, seolah-olah fokus utama adalah untuk meraih sokongan segelintir segmen kaum,” katanya.
Jelasnya, jika Sock Tao jadi pilihan pengundi, peruntukan Kerajaan Negeri Selangor dapat diteruskan bagi pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Tambahnya lagi, Sock Tao juga akan menjadi jambatan bagi usaha Kerajaan Perpaduan dengan ahli parlimen pembangkang kelak bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan bukannya terus menjadi mangsa permainan politik semasa.
"Kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak, namun pemimpin perlu menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan jika tidak akan menerima hukuman dari rakyat.
"Pengurusan tata kelola, kebebasan media, kebebasan institusi kehakiman adalah isu yang akan sentiasa menerima kritikan dan perlu diterima dengan berlapang dada,” katanya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!