PENUBUHAN Suruhanjaya Pekerja Gig yang bakal disegerakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas digesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas membantu menuntaskan segala keluhan dan kekusutan dialami rider e-haliling serta p-hailing di negara ini.
Suruhanjaya itu berupaya menoktahkan permasalahan berhubung isu kadar upah yang rendah dan tidak tetap sekali gus mengawal selia kebajikan serta mewakili suara pekerja demi merancakkan lagi ekonomi gig.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan pergi ke Sambutan Hari Pekerja 2024 yang dihadiri ramai penjawat awam mewakili kontinjen jabatan atau agensi masing-masing, termasuk barisan menteri daripada Kerajaan Madani.
Umum mengetahui bahawa kehadiran Anwar selain merasmikan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan, beliau juga akan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang sudah sekian lama dinantikan-nantikan.
Bagaimanapun, penulis tertumpu kepada maklum balas terkini mengenai Suruhanjaya Pekerja Gig memandangkan pernah berkesempatan membuat laporan gerakan boikot di seluruh negara selama 17 jam pada 19 Januari lalu susulan berlaku penurunan kadar caj penghantaran.
Penulis mengamati setiap bait ayat dan keluhan diceritakan oleh penunggang p-hailing ketika demo ‘Tuntutan Hak Rider Se-Malaysia’, masing-masing secara peribadi mengakui keadaan yang dilalui ketika itu amat tertekan kerana kebajikan mereka didakwa tidak diberi perhatian.
Penurunan kadar upah itu secara tidak langsung memberi impak kepada pendapatan, lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang membimbangkan.
Hal ini kerana bukan semua penunggang p-hailing bekerja separuh masa yang hanya ingin mendapatkan pendapatan sampingan, namun ada juga melakukannya secara sepenuh masa bagi menampung kehidupan seharian.
Penulis diceritakan tentang rutin harian rider terpaksa berkejar ke sana sini dalam cuaca tidak menentu demi memenuhi pesanan dan permintaan pelanggan, namun hanya dibayar dengan upah minimum yang sememangnya kurang berbaloi.
Bukan itu sahaja, mereka bahkan sanggup menghantar makanan sehingga ke muka pintu biarpun terpaksa menapak ke rumah tingkat paling atas asalkan pelanggan berpuas hati.
Bagaimanapun, selepas difikir-fikirkan, mereka mengakui kadar upah diberi tidak setimpal dengan apa yang dilalui memandangkan servis motosikal sahaja memerlukan ratusan ringgit.
Justeru, penulis berharap dengan ada penubuhan suruhanjaya tersebut, suara rider didengari dan nasib mereka terbela kerana ia antara platform yang dipilih golongan lepasan sekolah atau universiti serta pesara untuk mencari rezeki.
Syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing dan p-hailing di negara ini juga perlu menggerakkan segera inisiatif membantu golongan sebegini agar kebajikan mereka lebih terjamin.
Keterjaminan kebajikan selain kadar upah berpatutan atau masa yang fleksibel perlu ditambah dengan skim insurans, cuti sakit dan peluang pembangunan kerjaya.
Terbaharu, KESUMA sedang dalam proses mempercepat laporan untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kajian sedang dilakukan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) sebelum laporan interim dijangka dibentangkan kepada Kabinet menjelang 1 Jun ini.
Menurut beliau, pihaknya akan membentangkan laporan penuh tentang fungsi, perundangan, keahlian, implikasi kewangan, bidang kuasa dan sebagainya dalam tempoh dua atau tiga bulan dari sekarang.
Apa pun, pengumuman mengenai penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig sedikit sebanyak memberi kelegaan buat pekerja sektor berkenaan kerana ada wadah bersesuaian yang boleh mewakili keluhan, melindungi dan mempertahankan hak mereka selepas ini.
Diharapkan ia mampu memuaskan hati 1.12 juta pekerja gig yang tidak hanya tertumpu kepada rider p-hailing atau e-hailing, tetapi juga pemandu teksi, orang kurang upaya, wanita, warga emas dan pesara.
* Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!