Langkawi perintis projek padi pulut

Iklan
Mohamad (kiri) merasmikan projek Smart SBB di Kampung Air Hangat, Langkawi pada Ahad.

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Program Gelombang Padi Langkawi bakal membantu meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import berkaitan hasil produk beras pulut.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mana usaha menerusi Projek Padi Pulut Langkawi Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan itu dilaksanakan di bawah seliaan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Iklan
Iklan

Sebagai sokongan projek, kerajaan juga, menurut beliau, akan membina sebuah kilang padi pertama di Langkawi dengan anggaran kos sebanyak RM8.9 juta di Tapak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Kampung Bukit Hantu Mukim Ulu Melaka di sini.

Menteri itu berkata, kilang padi yang dijangka siap pada tahun 2025 dan ia mampu untuk memproses semua jenis padi yang ditanam di Langkawi itu, selain dapat menjimatkan kos dan masa memproses serta penghantaran produk.

Iklan

"Saya dimaklumkan pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 4,156 tan metrik padi telah dibeli oleh Bernas dan dihantar ke kilang beras Bernas di tanah besar Kedah.

"Kos pengangkutan adalah tinggi sehingga mencecah RM75 per tan metrik atau bersamaan RM300,000 setahun selain tempoh masa penghantaran mengambil masa dua hingga tiga hari,” katanya.

Iklan

Mohamad berkata demikian ketika berucap di Pusat Pengumpulan Padi Kampung Bukit Hantu di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan serta beramah mesra bersama peserta projek Smart SBB di Kampung Ayer Hangat di sini yang turut disertai Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar dan Pengurus Besar Kanan Bernas, Abdul Rahman Mohd Nasir.

Pada masa sama, Mohamad memberitahu, matlamat program Smart SBB adalah untuk memastikan keterjaminan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan import produk beras pulut di samping mempromosikan amalan pertanian lestari serta agropelancongan Langkawi.

"Ayer Hangat dipilih sebagai lokasi pertama projek ini atas faktor infrastruktur lengkap berbanding kawasan lain di samping mempunyai sumber pengairan utama dari Bukit Durian Perangin,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi fasa pertama projek, ia melibatkan keluasan 14.78 hektar daripada keseluruhan 540 hektar dengan bilangan maksimum 326 orang pesawah.

Sementara itu, Haslina menyatakan, Lada menyokong penuh usaha yang digerakkan oleh KPKM itu yang mana ia mampu menjadikan Langkawi sebagai pengeluar utama padi pulut di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!