Kestabilan makroekonomi pacu pertumbuhan Malaysia: Penganalisis

Iklan
Gambar hiasan

KESTABILAN makroekonomi Malaysia akan memacu perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun ini dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4.4 peratus dan 4.9 juga mampu dicapai, kata penganalisis.

Malah, Ketua Pakar Ekonomi IQI Global Shan Saeed turut menjangkakan Malaysia akan terus kekal menjadi tumpuan pelabur global berikutan kedudukan ekonomi yang kukuh serta kepentingannya dalam Inisiatif Belt and Road (BRI).

Iklan
Iklan

Atas alasan itu, beliau berkata, ringgit diunjur mengukuh kepada RM3.97 berbanding dolar AS pada tahun ini.

"Ekonomi global dijangka lebih perlahan tahun ini. Namun, di sebalik perkembangan itu, ekonomi Malaysia kekal dilihat lebih berpotensi berikutan produktivitinya yang kukuh," katanya kepada Bernama.

Iklan

Mengulas lanjut Shan berkata, kestabilan makroekonomi Malaysia juga berkait rapat dengan kemantapan politik dan ekonomi dan hala tuju dasar.

Beliau turut memuji langkah kerajaan yang menekankan pendekatan berintensifkan teknologi dalam usaha mempertingkat produktiviti menerusi inovasi dan teknologi.

Iklan

"Kerajaan menyedari hakikat bahawa usaha penerapan dan pelaksanaan teknologi akan melonjakkan pertumbuhan negara serta di peringkat ASEAN. Oleh itu aspek seperti teknologi 5G, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) telah dijadikan agenda utama kerajaan pada masa ini.

"Malah, kehadiran syarikat-syarikat teknologi terkemuka China seperti Alibaba dan Huawei di Malaysia juga adalah hasil inisiatif dan galakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 5-10 tahun akan datang, kalangan pekerja yang celik teknologi akan turut memacu trajektori pertumbuhan KDNK bagi kebanyakan negara di peringkat global termasuk Malaysia.

"Berikutan itu, pelaburan perbelanjaan modal yang besar dalam komunikasi seperti 5G, EV dan AI akan dilaksanakan di rantau Asia Pasifik yang turut membawa kepada kadar pertumbuhan lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang. Teknologi misalnya adalah pengupaya utama untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam tempoh 3-5 tahun akan datang," katanya.

Shan yang berpengalaman luas dalam bidang pasaran kewangan melebihi 19 tahun khususnya perbankan swasta, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, jenama dan strategi perniagaan, juga yakin Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur global berikutan kedudukan strategik serta peranannya dalam BRI.

"Selat Melaka memberi kelebihan daya saing strategik dari segi kedudukan geografi Malaysia. Pelabur sofistikated dan teliti amat menitikberatkan aspek geografi Malaysia kerana meliputi manfaat seperti kemudahan pelabuhan bertaraf dunia di rantau ini.

Menyentuh prestasi ringgit, Shan yakin mata wang tempatan itu akan diniagakan pada paras sekitar 3.7 dan 4.30 berbanding dolar AS dengan unjuran bahawa unit negara maju itu akan terus susut nilai pada 2020 berikutan tempoh pilihan raya di Amerika Syarikat.

"Pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan mengurangkan lagi kadar faedahnya menghampiri sifar kerana 2020 merupakan tahun pemilihan (Presiden) dan Presiden Donald Trump dijangka memastikan perkara itu diutamakan oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell.

"Mengikut sejarah, presiden-presiden sebelum ini iaitu Richard Nixon and Ronald Reagan pernah melakukan perkara serupa untuk memenangi pemilihan presiden pada 1970-an dan 1980-an. Selain itu, dolar AS juga dilihat ke arah penyusutan dan dinilai rendah berbanding kelompok mata wang lain," katanya. - Bernama