KUANTAN - Unit Penguatkuasaan Negeri tidak perlu gusar dan takut, sebaliknya terus proaktif dalam memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang negeri.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan bagi mengekang aktiviti pencerobohan haram.
Baginda turut menzahirkan kebanggaan dengan usaha kerajaan Pahang dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.
"Pentadbiran kerajaan beta, tidak mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah syabas dan tahniah atas tindakan yang tegas ini," titah baginda.
Al- Sultan Abdullah bertitah demikian bersempena Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang pada Isnin
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah selain dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Selain itu, baginda juga mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian musang king di Raub pada 24 April lalu.
"Beta berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut," titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah sejajar dengan revolusi pertanian 4.0, sektor pertanian di Pahang perlu diperhebatkan dengan memberi memfokuskan kepada pembangunan pertanian berteknologi tinggi.
Titah baginda ini bagi memastikan pengeluaran bahan makanan yang berkualiti, mencukupi dan selamat dimakan.
"Bagi menjayakan hasrat ini, beta menggalakkan lebih ramai golongan muda ataupun agropreneur muda untuk melibatkan diri dan menceburi bidang pertanian.
"Sehubungan itu, dalam semua perancangan dan pelaksanaan program pertanian, golongan muda sudah pastinya akan dilibatkan dengan lebih aktif bagi mencapai revolusi pertanian 4.0," titahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!