KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyampaikan titah perasmian Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, sempat mengusik anakanda baginda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar cepat bertemu jodoh.
Baginda turut mendoakan agar perkara itu dipermudahkan.
"Dan mudahan-mudahan juga kita doakan anakanda (Tengku Hassanal) segera kahwin,” titahnya sebelum mengakhiri lafaz titah Diraja di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Sebaik usikan segera melangkah ke alam pernikahan itu, ia disambut penuh kegembiraan oleh seluruh ahli DUN.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan buat Tengku Hassanal kerana telah memegang tugas sebagai Pemangku Raja selama lima tahun bermula 2019 sepanjang baginda menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong.
"Ucapan terima kasih juga kepada semua khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, ahli-ahli mesyuarat dan ahli-ahli DUN yang mana telah memberi segala dorongan, sokongan dan tunjuk ajar dalam bermacam tugasan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.
"Mudah-mudahan anakanda beta dapat pelajari selok belok tentang urusan tadbir urus sebuah negeri seperti negeri Pahang,” titah baginda.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!