86 peratus pekerja pilih masuk pejabat tiga hari seminggu

Iklan
Tinjauan turut mendapati dua daripada lima rakyat di negara ini sanggup meletak jawatan sekiranya diminta untuk bekerja lebih masa. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Fahad Naeem

SHAH ALAM - Sebanyak 86 peratus pekerja di negara ini memilih untuk masuk ke pejabat hanya tiga hari seminggu berdasarkan tinjauan Workmonitor 2024 oleh Randstad Malaysia.

Berdasarkan tinjauan tersebut juga, 39 peratus pekerja lagi mempertimbangkan untuk berhenti sekiranya majikan meminta agar menghabiskan lebih banyak masa bekerja di pejabat.

Iklan
Iklan

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, tinjauan itu turut mendapati dua daripada lima rakyat negara ini sanggup meletak jawatan sekiranya diminta bekerja lebih masa.

"Dua daripada lima responden berkata mereka melakukan perubahan hidup seperti berpindah-randah atau memelihara haiwan kerana menjangkakan jadual kerja fleksibel diteruskan selepas pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Dapatan itu diperoleh bermula 23 Oktober hingga 11 November 2023 melibatkan 27,000 responden berumur 18 hingga 67 tahun dari lebih 35 negara termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, dapatan kajian tersebut mendapati reaksi majikan adalah berbeza apabila satu daripada dua responden mendedahkan syarikat memperkenalkan polisi wajib bekerja lima hari di pejabat.

Iklan

"Tambahan pula, dalam 10 responden berkata majikan mereka tidak mempunyai polisi bekerja yang fleksibel," ujarnya.

Fahad memaklumkan, 52 peratus rakyat di negara ini juga enggan menerima tawaran pekerjaan sekiranya syarikat tidak proaktif dalam meningkatkan kepelbagaian dan ekuiti.

Menurut beliau lagi, kepelbagaian dan ekuiti adalah penting kepada generasi muda masa kini kerana 59 peratus daripada Gen Z serta 54 peratus golongan Milenium mengatakan tidak akan menerima pekerjaan dengan syarikat sebegitu.

"Sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia menyembunyikan beberapa aspek mengenai diri mereka di tempat kerja yang menjadi pendorong untuk mencari organisasi menyediakan persekitaran selamat bagi membolehkan mereka menjadi diri sendiri," kata Fahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!