Pulau Aman dijadikan Kampung Angkat Madani JPA

Iklan
Wan Ahmad Dahlan (dua, kiri) melawat Pulau Aman pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani JPA: Transformasi Pulau Aman di Pulau Aman pada Ahad. Foto Bernama

BATU KAWAN - Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Kampung Angkat Madani kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Pulau Aman, di sini bagi membangunkan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, menerusi peruntukan itu lapan projek telah dimuktamadkan untuk dilaksanakan meliputi skop penyelenggaraan infrastruktur dan pembangunan sosial yang dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

Iklan
Iklan

"JPA telah mengenal pasti beberapa fokus penting yang meliputi pembangunan fizikal serta bukan fizikal dengan peruntukan keseluruhan RM2.5 juta yang disediakan bagi projek seperti menaik taraf jeti, longkang dan gelanggang permainan, membaik pulih dewan serbaguna serta pembinaan nature trail mengelilingi pulau.

Wan Ahmad Dahlan (tiga, kiri) melawat lokasi penternakan ikan di Pulau Aman. Foto Bernama

"Menerusi peruntukan itu juga kami menjalankan aktiviti pengindahan di sekitar kawasan kampung yang akan dilaksanakan dan diselesaikan pada tahun ini dengan memberi penekanan kepada memudah cara urusan harian penduduk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani JPA: Transformasi Pulau Aman di Pulau Aman malam tadi.

Iklan

Beliau berkata, JPA juga berhasrat untuk menjadikan Pulau Aman sebagai Pulau Pelancongan Seni dan Warisan berdaya saing dan menjadi hub pelancongan yang membantu menjana pendapatan penduduk kawasan tersebut sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kami juga telah melaksanakan tiga inisiatif di Pulau Aman ini iaitu mengecat rumah-rumah di sini dengan pelbagai warna menarik seperti di satu perkampungan di Sepanyol supaya menjadi tarikan pelancong dan membina arca di beberapa tempat. Pengindahan dan infrastruktur akan dilakukan secara berterusan," katanya.

Iklan

Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA juga sedang mengenal pasti projek-projek berpotensi aquafarming dan aquaculture dalam usaha meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat selain melaksanakan program pembangunan modal insan termasuk latihan e-digital, kursus Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Wan Ahmad Dahlan (enam, kiri) bersama tetamu bergambar di hadapan lukisan mural di Pulau Aman pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani JPA: Transformasi Pulau Aman di Pulau Aman pada Ahad. Foto Bernama

Pada majlis itu JPA merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas keprihatinan Seri Paduka mengurniakan sumbangan beras kepada semua keluarga di Pulau Aman.

Pulau Aman merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisional di pulau yang seluas 116.5 hektar, terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai dan lapan kilometer (km) dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ia didiami 47 keluarga dengan 250 orang, dan pulau itu dihubungkan jalan laut melalui Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan.

Antaranya daya tarikan Pulau Aman termasuk pokok sukun pulut yang diiktiraf sebagai pokok sukun tertua di Malaysia, Telaga Mas berusia 234 tahun, Masjid Ar-Rahman yang dibina pada 1817 dan trek eko-pelancongan mengelilingi Pulau Aman. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!