ANAK kepada Datuk Hail Amir, 76, iaitu Lufti Ameer meminta semua pihak memberi ruang sewajarnya kepada penyanyi dan pelakon popular era 1970-an itu.
Ujar Lufti, ini termasuklah tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang tidak betul dan gambar bapanya yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Tolonglah dalam situasi begini, jangan sebarkan maklumat yang tidak sepatutnya, sebaiknya mendoakan kesembuhan buat papa.
"Kami mohon supaya papa diberikan ruang untuk mendapatkan rawatan secukupnya tanpa gangguan dengan tidak menerima pelawat buat masa ini," luahnya dalam satu hantaran di Instagram miliknya.
Dalam masa sama, Lufti turut mengucapkan terima kasih atas doa-doa yang dikirimkan buat bapanya itu.
"Terima kasih atas doa-doa kalian, semoga ALLAH membalas segala kebaikan semua," ujarnya.
Terdahulu, Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu selepas mengalami batuk berpanjangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!