AGC bantah permohonan Syed Saddiq

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta tiga pihak lain, berhubung tindakan kerajaan yang didakwa memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili AGC memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliyana Mohd Jafri secara e-Review, hari ini.

Iklan
Iklan

Syed Saddiq dan tiga pengundi di kawasan Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 23 April menerusi Tetuan Lim Wei Jiet dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta, yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana, bagi kawasan Parlimen Muar.

Iklan

Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden dalam keputusan mereka membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS, yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300, yang dipohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.

Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar, untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.

Iklan

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden telah melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan parlimen itu yang terjejas termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!