SHAH ALAM - Persatuan Jurutera Malaysia Malaysia (MAE) mencadangkan kepada kerajaan supaya tangga gaji jurutera baharu dinaikkan bagi menarik minat golongan itu bekerja di dalam negara.
Presidennya, Datuk Ir. Feroz Hanif Mohamed Ahmad berkata, tangga gaji bagi jurutera gred 41 ketika ini hanya RM2,500 dan ianya amat kecil jika hendak dibandingkan dengan gaji jurutera yang ditawarkan di luar negara.
Menurutnya, disebabkan gaji yang tidak berbaloi dengan kelulusan yang diperoleh ramai pemegang siswazah ijazah sarjana muda kejuruteraan mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara kerana tawaran gaji yang tinggi.
"Kami sokong kerajaan naikkan gaji (graduan) Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), jadi kenapa tidak jurutera? Sebab tanggungjawab (jurutera) lebih besar.
"Kami ingin mencadangkan agar gaji permulaan graduan jurutera juga boleh dinaikkan ke RM3,500 hingga RM4,000," katanya pada sidang akhbar di Shah Alam, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kekurangan 30,000 jurutera baru-baru ini.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan tawaran gaji graduan TVET lebih RM4,000.
Katanya, ia antara perkara yang diberi perhatian dalam usaha memperkasakan institusi TVET di Malaysia.
Justeru, kata MAE isu tersebut dipandang serius oleh pemegang-pemegang taruh dalam bidang kejuruteraan.
"MAE selaku pertubuhan yang mewakili kelompok jurutera di Malaysia berharap agar isu ini dapat diatasi segera bagi mengelakkan situasi 'brain drain' yang merugikan negara dalam jangka masa panjang," katanya.
Dalam pada itu MAE turut mencadangkan beberapa usaha bagi mengatasi kekurangan tersebut.
Antaranya pengambilan pekerja yang tidak mengikut kelayakan sebenar dan pelarasan yuran firma perunding.
Selain itu, penambahbaikan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dari segi penguatkuasaan dan pemantauan untuk mengawal selia ekosistem penggajian terutama yang melibatkan sektor swasta.
"Bila penguatkuasaan diperkasakan, kita dapat pastikan ekosistem penggajian dalam keadaan seimbang di mana sektor swasta dapat menggaji jurutera dengan gaji berpatutan dan setara.
"Ia juga dapat memastikan jika berlaku sebarang ketidakpatuhan, tindakan lebih efisien boleh diambil. Tapi, kita faham BEM mungkin ada kekangan tertentu," ujarnya.
Feroz berkata, MAE juga mencadangkan untuk mewujudkan 'jurutera pelatih' mengikut konsep seperti doktor pelatih (housemanship).
Langkah itu bertujuan untuk menyediakan jurutera yang berkualiti dan mengikut kehendak industri.
"Berbeza dengan latihan industri yang lebih singkat, mungkin tempoh latihan boleh dicadangkan sehingga enam bulan supaya graduan kita dapat mempersiapkan diri dengan kehendak industri.
"Kenaikan gaji harus seiring dengan pengalaman dan kualiti kerja. Kalau kita dapat selesaikan masalah gaji ini kita yakin akan dapat menarik minat graduan ke bidang kejuruteraan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!