SHAH ALAM - Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang penyelidikan, khidmat masyarakat serta perkongsian kepakaran.
IDS dan MASA dalam satu kenyataan bersama berkata, antara topik penyelidikan yang bakal dijalankan adalah mengenai ekonomi akar umbi di Sabah.
Menurut kenyataan tersebut, pemeteraian MoU itu susulan daripada kunjungan hormat MASA ke IDS pada 2022, yang membolehkan kedua-dua pihak meneroka bidang penting penyelidikan dalam merangka input dasar dan strategi pembangunan negara.
"Diharapkan melalui pemeteraian MoU ini, usaha untuk memahami isu dan cabaran sosioekonomi di Malaysia, khususnya di Sabah dapat dicapai menerusi aktiviti penyelidikan tersebut.
"Ini juga selari dengan objektif Sabah Maju Jaya 2021-2025,” katanya pada Isnin.
MoU terbabit ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr Ramzah Dambul dan Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin di Wisma IDS.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi IDS, Datin Hasnah Samsudin serta Ketua Komunikasi Strategik dan Pengurusan MASA, Marhaini Kamaruddin.
Sebagai rekod, IDS adalah badan pemikir Kerajaan Negeri Sabah dalam menggali idea, pendapat dan menganalisis cadangan dasar awam berkenaan isu pembangunan sosioekonomi.
MASA pula badan pemikir bebas ditubuhkan pada 2019 yang menggabungkan pakar-pakar dalam kerajaan dan akademik untuk menjalankan penyelidikan relevan dengan pembangunan sosioekonomi negara berdasarkan nilai kemakmuran bersama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!