PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung siasatan terhadap tiga pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), yang disyaki terlibat dengan rasuah.
"KPKM memandang serius berhubung siasatan ini dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab supaya kes ini dapat dijalankan siasatan dengan adil dan telus,” menurut kenyataan itu.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, KPKM pada masa yang sama sentiasa komited dalam usaha pencegahan rasuah dan meletakkan keutamaan terhadap tahap integriti yang tinggi dalam kalangan pegawai dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana perlakuan rasuah dan amalan tidak berintegriti.
"Usaha berterusan sentiasa diambil oleh pihak KPKM dalam membanteras sebarang bentuk salah guna kuasa, konflik kepentingan, gejala rasuah dan penyelewengan melalui penambahbaikan arahan-arahan dalaman, melibatkan pelbagai gerak kerja jabatan dan agensi di bawah KPKM,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan SPRM Kelantan menahan tiga pegawai kanan agensi kerajaan, masing-masing berumur 40, 47, dan 49 tahun, semalam.
Menurut sumber, mereka ditahan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu meminta dan menerima rasuah. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!