KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemandu pelancong dalam kalangan penduduk setempat bagi memperkenalkan lokasi bunga Rafflesia yang banyak tumbuh di kawasan Taman Eko Rimba Lata Jarum Ulu Dong, Raub.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, bagi memastikan kerjaya sebagai pemandu pelancong diisi orang tempatan, golongan muda yang berminat akan diberikan keutamaan latihan oleh agensi berkaitan sebelum lantikan sebagai pemandu pelancong dibuat.
"Mereka diberikan kemahiran laluan di dalam hutan dan perlu memiliki kebolehan serta ilmu berkaitan tumbuhan bunga Rafflesia selain mengenali pelbagai spesies tumbuhan lain untuk dikongsi dengan pelancong.
"Saya yakin bunga Rafflesia yang terdapat di Taman Eko Rimba Lata Jarum Ulu Dong ini dapat menjadi produk pelancongan yang unik di Pahang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat dua lagi hutan di daerah ini mempunyai bunga Rafflesia iaitu Hutan Simpan Batu Talam dan Hutan Simpan Gunung Benom.
"Dua lokasi itu juga mungkin boleh dijadikan kawasan yang boleh dilawati jika pelancong mahu melihat dengan lebih dekat lagi.
Semalam, Sallehuddin melakukan lawatan ke Tapak Hutan Perlindungan Bernilai Tinggi (High Value Conservation Forest–HCVF) Rafflesia di Taman Eko Rimba Lata Jarum Ulu Dong, Raub.
ARTIKEL BERKAITAN: Tarikan bunga gergasi di Lata Jarum
Hadir sama Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pegawai Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad.
Dalam pada itu, Sallehuddin berkata, taman berkenaan terletak dalam Hutan Simpan Gunung Benom mempunyai pakej pelancongan hutan semula jadi yang begitu menarik dan unik kerana kepelbagaian spesies pokok balak, selain terdapat air terjun dan jeram berbatu.
Katanya, JPNP perlu memastikan produk pelancongan berkenaan dapat terus kekal dan berada dalam keadaan menarik.
"Saya berharap Taman Eko Rimba Lata Jarum Ulu Dong berupaya menjadi produk ekopelancongan dan pusat penyelidikan bunga Rafflesia yang terbaik di semenanjung dengan sokongan pelbagai pihak," katanya.
Sementara itu, Mohd Hizamri berkata, pihaknya berhasrat membina pelantar pejalan kaki bagi kemudahan pelancong bertujuan mengelak berlakunya kerosakan di kawasan bunga Rafflesia yang banyak terdapat di situ.
"Beberapa kemudahan lain akan dibina bagi memberi lebih keselesaan kepada pelancong yang berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Jarum Ulu Dong selain jadual Rafflesia berbunga turut disediakan," katanya.