SINGAPURA - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan hubungan dan persahabatan antara Malaysia dan Singapura, kata Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Tharman berkata, Singapura berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan Seri Paduka Baginda yang merupakan sahabat karib kepada republik itu sejak sekian lama, bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua negara berjiran.
"Mewakili semua rakyat Singapura, kami amat berbesar hati bahawa Seri Paduka Baginda memutuskan untuk membuat Lawatan Negara pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia, ke Singapura.
"Di bawah kepimpinan dan sokongan padu Seri Paduka Baginda, kita boleh bersama-sama meningkatkan lagi hubungan kerjasama dan persahabatan Singapura-Malaysia ke tahap lebih tinggi,” kata Tharman dalam ucapannya di Jamuan Negara yang berlangsung di kediaman rasmi Presiden Singapura iaitu The Istana, malam ini.
Jamuan itu yang dihoskan Tharman, adalah bersempena Lawatan Negara Yang di-Pertuang Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, ke Singapura.
Ketua Negara Singapura itu berkata, Tambak Johor yang menyambut ulang tahunnya yang ke-100, tahun ini, merupakan peringatan tepat pada masanya mengenai bagaimana lintasan darat paling sibuk di dunia itu bukan sekadar hubungan fizikal antara kedua-dua negara, tetapi juga menjadi simbol ikatan yang berkekalan.
"Mari kita bina atas ikatan ini, pada ketika kita melihat semula kepada ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kita tahun hadapan.
"Seperti kesemua jiran, kita mempunyai isu yang perlu diselesaikan, tetapi kita tidak seharusnya membiarkan perkara itu mengubah keseluruhan hubungan kita,” katanya.
Tharman berkata, kedua-dua negara perlu terus mencari cara yang saling menguntungkan dan mampan untuk bergerak ke hadapan dalam isu ini, pada ketika memfokuskan kepada banyak kerjasama yang positif dan yang baharu.
Presiden Singapura itu berkata, adalah penting bahawa kerjasama antara Malaysia dan Singapura sebagai negara yang berfikiran sama dan ahli pengasas ASEAN diperkukuhkan di tengah-tengah persaingan kuasa besar yang semakin meningkat, dan hakisan ke atas perintah berasaskan undang-undang antarabangsa.
Tambah Tharman, pada ketika Malaysia bersedia untuk mengambil alih Kepegerusian ASEAN tahun hadapan, beliau yakin kedua-dua negara akan terus bekerjasama dengan baik untuk mengekalkan kesatuan, pemusatan dan kerelevanan ASEAN.
Beliau berkata tahun lepas, Singapura dan Malaysia telah mengumumkan beberapa perjanjian baharu untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), namun ikatan kedua-dua negara lebih mendalam daripada kerjasama ekonomi, merangkumi bidang seperti sebagai warisan budaya, makanan dan sukan.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah tiba di Singapura hari ini untuk lawatan negara dua hari ke republik itu.
Lawatan itu, yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta persekutuan pada 31 Jan, adalah atas jemputan Presiden Singapura. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!