MINGGU ini menjadi tempoh kritikal kepada calon-calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) kerana berada pada kemuncak kempen dan pecutan akhir untuk meraih undi.
Sepanjang dua minggu berkempen, tumpuan penduduk pastinya terarah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang rancak turun padang bertemu rakyat dengan pelbagai program padat setiap hari walaupun terpaksa berdepan keadaan cuaca tidak menentu.
Kedua-dua calon juga dihimpit sedikit kontroversi membabitkan kelayakan akademik dan isu hutang, namun ia langsung tidak menjejaskan emosi dan konsentrasi Sock Tao mahupun Khairul, malah mereka dilihat berani bersemuka rakyat menjelaskan situasi sebenar tanpa cuba lari dari isu.
Mendiang Kee Hiong berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) mewakili DAP selama tiga penggal sejak 2013 dan dikenali sebagai pemimpin wanita berkaliber dan sangat disayangi rakyat KKB yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Selain diyakini dapat meneruskan legasi mendiang Kee Hiong, Sock Tao yang masih muda dan berwajah lembut juga punya aura untuk menarik pengundi wanita dan golongan belia.
Namun, kekuatan Khairul mewakili PN juga tidak boleh disangkal kerana pengaruh kuatnya sebagai anak tempatan selain bersandar kepada komposisi pengundi Melayu KKB seramai hampir 50 peratus.
Walaupun agak berusia, namun beliau juga dilihat ada kekuatan menarik orang muda terutama undi 18 tahun yang terdedah dengan banyak maklumat di media sosial dan cenderung memilih PN.
Apa pun situasinya, pada pengakhiran cerita, pengundi KKB sudah tentu akan pilih calon yang dirasakan sedia mendengar dan membawa suara rakyat, selain bakal pemimpin diyakini boleh buat kerja. Apatah lagi dalam situasi ekonomi agak meruncing dan kos sara hidup mencanak naik, rakyat hanya mahu nasib mereka dibela, bukan terpaksa jadi saksi perbalahan yang tidak berkesudahan antara parti politik!
Untuk warga KKB pula, nilaikan sebaik mungkin calon pemimpin yang ada dan buatlah pilihan terbaik demi masa depan generasi akan datang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!