Remaja maut berkayak di Pulau Melaka

Iklan

KOTA BHARU - Kegembiraan lima sahabat melakukan aktiviti berkayak di sungai bertukar menjadi tragedi menyedihkan kerana salah seorang daripada mereka meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian di Sungai Pengkalan Datu, Pulau Melaka, di sini.

Lebih memilukan apabila mangsa tidak dapat mencapai jaket keselamatan yang diberikan seorang rakannya ketika remaja itu sedaya upaya cuba membantu mangsa.

Iklan
Iklan

Sebelum itu Ahmad Zawawi Mohamad, 19 tahun bersama empat rakannya dikatakan memulakan aktiviti berkayak dari Pulau Melaka menuju ke satu lokasi kira-kira sejauh 500 meter dan kebetulan arwah memang sudah lama mengajak rakan-rakannya itu untuk beriadah di kawasan tersebut.

Rakan mangsa, Nazmi Mohd Nazam,19, memberitahu, dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, setibanya di lokasi riadah, arwah Ahmad Zawawi mengajaknya untuk mandi namun dia menolak kerana tidak membawa baju persalinan.

Iklan

"Dia mandi dan kemudian saya nampak dia hampir tenggelam. Saya cuba campak jaket keselamatan tapi dia tak dapat capai. Saya cuba lagi sekali menggunakan kayak, namun dia tetap gagal capai.

"Arwah kemudian semakin tenggelam dan selepas itu saya hubungi pihak Bomba untuk minta bantuan. Memang saya dan rakan-rakan cuba sebaik mungkin untuk selamatkan dia," katanya.

Iklan

Nazmi berkata, dia dan rakan-rakannya tidak menyangka rancangan percutian mereka bertukar menjadi satu kenangan yang menyedihkan memandangkan arwah memang sudah lama mengajaknya untuk beriadah di kawasan itu.

Ketika ditanya perubahan yang berlaku kepada mangsa sebelum kejadian, Nazmi berkata, Ahmad Zawawi memang kelihatan kurang ceria berbanding biasa.

"Memang dia nampak lain hari ini (hari kejadian). Diam padahal dia sokmo (selalu) bising, ceria, baik. Rupanya itu petanda terakhir," katanya.

Ahmad Zawawi merupakan pelajar Maahad Muhammadi Lelaki dan kini sedang menunggu keputusan ujian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut pada jam 10 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 10 anggota polis, 13 anggota bomba dan empat wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Operasi mencari dan menyelamat bermula pada jam 10.15 pagi dan selepas 15 minit selaman dilakukan, akhirnya mangsa ditemui pada jarak 30 meter dari lokasi dia dipercayai mandi dengan kedalaman air empat meter. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat," katanya.