KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki putus kaki kirinya selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Budiman di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek dekat sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Adam Muqlis Abdul Aziz, 18, mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.16 malam.
"Siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Toyota Hilux dari bahu jalan sebelah kiri telah membuat pusingan U untuk menghala ke arah lampu isyarat Budiman.
"Ketika itu secara tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 yang datang dari arah lampu isyarat Budiman telah berlanggar dengan kereta tersebut di bahagian sisi hadapan sebelah kanan.
"Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu putus kaki sebelah kiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azli berkata mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.
Selain itu, katanya pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pemandu itu telah hadir untuk memberi keterangan di balai polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Sementara itu, sebuah rakaman video berdurasi 25 saat tular di aplikasi WhatsApp memaparkan mangsa yang terbaring sakit akibat kemalangan tersebut.
Lebih memilukan, seorang wanita dipercayai ibu mangsa menjerit dengan nada kesedihan dan kemudian rebah akibat terkejut melihat kejadian berkenaan.
"Kaki, kaki anak aku. Ya ALLAH. Anak aku, kesiannya anak aku sakit.
"Siapa langgar ini? Siapa langgar? Ya ALLAH, anak aku," ujarnya.
Difahamkan sebelum kejadian Muhammad Adam Muqlis dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal selepas habis berniaga air kelapa di gerainya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!