Isu tanah kubur Selat Klang: Waris, ahli keluarga mohon tangguh lagi

Iklan
Waris dan ahli keluarga menuntut supaya kerja-kerja pemindahan jenazah yang terlibat dengan pengalihan tanah itu dapat ditangguhkan lagi. Gambar kecil: Hazlina Hasbullah

KLANG - Waris dan ahli keluarga mendakwa tiada kata sepakat dicapai pada perjumpaan tertutup bagi membincangkan isu pengalihan tanah kubur di Selat Klang pada Ahad lalu.

Sehubungan itu, waris dan ahli keluarga menuntut supaya kerja-kerja pemindahan jenazah yang terlibat dengan pengalihan tanah itu dapat ditangguhkan lagi.

Iklan
Iklan

Wakil bagi kesemua waris terlibat, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, masih terdapat waris-waris gagal dihubungi apabila hanya terdapat 52 daripada 90 waris yang hadir dalam perjumpaan tertutup di Dewan Hamzah, Klang tempoh hari.

"Berilah ruang dan peluang untuk dibawa ke meja rundingan untuk mendengar jawapan yang masih belum berjawab, sebagai hak waris diambil kira, sebelum sebarang persetujuan bersama dicapai," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, Hazlina berkata, waris dan ahli keluarga yang terlibat dalam isu pengalihan tanah kubur itu turut memohon campur tangan Sultan Selangor dengan isu tersebut.

"Kami dengan ini, memohon belas kasihan daripada Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, janganlah patik sekalian waris-waris yang terlibat dipinggirkan sedangkan ini melibatkan arwah-arwah keluarga kami," tambahnya lagi.

Iklan

Pada Isnin, isu penggalian dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka selesai akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan waris, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) secara tertutup.

Ujarnya, isu pembinaan yang banyak berbangkit di Selangor sudah selesai dan terbaru berkaitan peralihan kubur di Selat Klang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!